top of page

Dapat mandat besar tapi masalah rakyat tidak selesai, prestasi BN dipersoal - Adly

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read

ADLY ZAHARI bercakap pada sidang media harian Pakatan Harapan di Bilik Gerakan Utama PH, Bukit Piatu, Melaka, 1 Nov 2026. Foto Suara Keadilan
ADLY ZAHARI bercakap pada sidang media harian Pakatan Harapan di Bilik Gerakan Utama PH, Bukit Piatu, Melaka, 1 Nov 2026. Foto Suara Keadilan

Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Melaka apabila beberapa masalah asas rakyat termasuk banjir berulang, kesukaran memiliki rumah, tekanan kos sara hidup dan peluang pekerjaan masih menjadi keluhan masyarakat.


Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, BN yang memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sepatutnya menjawab persoalan rakyat berdasarkan prestasi sepanjang tempoh pentadbirannya dan bukannya kembali meminta kepercayaan seolah-olah baru diberi peluang mentadbir.


Beliau berkata maklum balas yang diterima daripada penduduk menerusi program mendekati rakyat oleh 24 calon PH pada hari pertama kempen menunjukkan beberapa isu yang masih membebankan kehidupan masyarakat.


"... kita lihat ada beberapa keresahan antaranya bil air, tentang kesukaran memiliki rumah, tentang akses bantuan kebajikan dan juga pekerjaan dengan gaji yang setimpal.


"Begitu juga dengan peniaga kecil pula berdepan tekanan sewa serta tekanan modal untuk meneruskan perniagaan mereka," katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PH, Kompleks Perniagaan Musai Jaya, Bukit Piatu hari ini.


Hadir sama Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan anggota jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PH, Jonathan Vela dan Edi Arman.


Adly yang juga calon DUN Bukit Katil berkata, masalah infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan awam turut menjadi perhatian penduduk termasuk kejadian banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan kebersihan persekitaran.


Selain itu, beliau berkata aduan berkaitan Melaka Sentral yang belum dimanfaatkan sepenuhnya serta keadaan beberapa lokasi pelancongan turut memerlukan penjelasan dan tindakan kerajaan negeri.


Menurutnya rakyat berhak mempersoalkan keupayaan pentadbiran semasa apabila masalah asas masih belum diselesaikan walaupun BN mempunyai rekod kemenangan besar pada PRN lalu.


"Dan rakyat berhak bertanya, keperluan asas pun masih tak dapat diselesaikan dan masih dikeluhkan oleh rakyat, atas ukuran apa pentadbiran sedia ada mahu terus dibanggakan.


"Papan tanda boleh bertukar dan slogan boleh diperbaharui tetapi mutu perkhidmatan mesti membuktikan hasil yang terbaik kepada rakyat," katanya.


Beliau yang juga Pengarah JPPH berkata PH mahu kempen pilihan raya kali ini memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar masyarakat dan bukannya sekadar persaingan slogan atau pentas ceramah.


"Kuasa mentadbir bukan hak kekal pada mana-mana parti tetapi pengundi tidak berhutang mandat dengan sesiapa," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page