top of page

RMK13: Enam projek bekalan air Sarawak bernilai RM1.27 bilion diteruskan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari

Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bagi memperluas akses penduduk terhadap kemudahan asas itu.


Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh infrastruktur bekalan air, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.


Beliau berkata, pembangunan infrastruktur asas itu turut merangkumi usaha meningkatkan kemudahan bekalan air di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.


"Usaha ini selari dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif tanpa meminggirkan keperluan rakyat di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.


"Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM444.96 juta bagi memperkukuh infrastruktur bekalan air di Sabah, termasuk penggantian saluran paip kritikal dan pelaksanaan langkah mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW)," katanya dipetik Suara Sarawak.


Menurut Ahmad, usaha meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air di Labuan juga diteruskan menerusi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penggantian komponen kritikal.


Katanya, pendekatan itu turut merangkumi penggunaan teknologi pintar bagi memantau sumber air bawah tanah sebagai alternatif bekalan air pada masa hadapan.


Beliau berkata, pembangunan kemudahan asas perlu memberi perhatian kepada penduduk di kawasan luar bandar, pedalaman dan wilayah yang berdepan kekangan infrastruktur, selain kawasan bandar serta pusat ekonomi utama.


Sehubungan itu, beliau berharap usaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat diteruskan menerusi penyelarasan erat bersama Kerajaan Negeri.


Ahmad berkata, komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah, Sarawak dan Labuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan negara lebih seimbang dan inklusif, sekali gus menjamin akses setiap wilayah kepada kemudahan asas yang sewajarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page