Persaingan politik Israel tidak janjikan pembebasan Palestin - MAPIM


Persaingan politik antara parti pemerintah dan pembangkang di Israel tidak menjanjikan perubahan terhadap nasib rakyat Palestin selagi kedua-dua blok utama masih berpegang kepada kerangka ideologi Zionisme, demikian kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata pertukaran kepimpinan melalui pilihan raya tidak semestinya mengubah asas ideologi dan dasar negara Israel khususnya berkaitan hak kebangsaan, kedaulatan serta penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
"Persoalan asas dalam politik Israel ialah kedua-dua Likud dan parti-parti pembangkang utamanya masih beroperasi dalam kerangka ideologi Zionisme," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
"Walaupun mereka berbeza dari segi kepimpinan, strategi politik, pendekatan keselamatan dan pengurusan konflik Palestin, perbezaan tersebut tidak semestinya membawa kepada komitmen terhadap hak kebangsaan, kedaulatan dan penentuan nasib sendiri rakyat Palestin."
Mengulas keputusan pilihan raya umum Israel pada 27 Oktober lalu, Mohd Azmi berkata, keputusan itu memperlihatkan persaingan antara kelompok politik yang berbeza kepimpinan dan pendekatan tetapi belum menunjukkan perubahan asas terhadap kedudukan Palestin dalam agenda politik negara itu.
Keputusan pilihan raya terbaharu itu menyaksikan Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu muncul sebagai parti terbesar dengan memperoleh 27 daripada 120 kerusi Knesset namun blok yang menyokongnya hanya menguasai 53 kerusi.
Blok pembangkang yang diterajui Parti Yashar pimpinan Gadi Eisenkot pula memperoleh 48 kerusi manakala parti-parti berteraskan Arab meraih keseluruhan 19 kerusi, menjadikan kedua-dua blok utama masih gagal mencapai majoriti mudah 61 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Peratusan keluar mengundi pula mencecah 77.9 peratus, antara kadar tertinggi dalam beberapa dekad, sekali gus memperlihatkan persaingan politik yang sengit dalam pilihan raya berkenaan.
Keputusan itu juga menyaksikan kemerosotan ketara blok Netanyahu berbanding 68 kerusi yang dimilikinya dalam Knesset sebelum ini sekali gus membuka ruang kepada rundingan pembentukan kerajaan yang lebih rumit.
Bagaimanapun, peningkatan kerusi parti-parti Arab tidak semestinya memberikan jaminan bahawa mereka akan diterima sebagai rakan dalam pembentukan kerajaan meskipun kedudukan mereka berpotensi menjadi penentu kepada pembentukan majoriti baharu.
Mohd Azmi berkata penolakan parti-parti politik Israel untuk bekerjasama dengan parti Arab mendedahkan keterbatasan sistem politik negara itu dalam memberikan ruang penyertaan yang bermakna kepada warga Arab.
Menurut beliau meskipun warga Arab mempunyai hak mengundi, bertanding dan memenangi kerusi Parlimen, pengaruh mereka dalam menentukan dasar negara masih berdepan halangan politik dan ideologi.
Beliau berkata perbezaan antara Likud dengan parti pembangkang utama lebih tertumpu kepada kepimpinan, strategi politik, pendekatan keselamatan dan pengurusan konflik Palestin, bukannya komitmen terhadap pengiktirafan hak rakyat Palestin.
"Pertukaran Netanyahu tidak secara automatik mengubah asas politik dan ideologi negara Israel. Pertukaran kerajaan tidak semestinya membawa perubahan ideologi," katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan rakyat Palestin tidak seharusnya meletakkan harapan kepada pertukaran kerajaan atau kemenangan parti pembangkang Israel semata-mata sebaliknya menilai kesediaan sebenar mana-mana kepimpinan untuk mengiktiraf hak mereka.
Hak berkenaan termasuk penentuan nasib sendiri, penubuhan negara Palestin yang berdaulat, kebebasan daripada pendudukan, hak untuk kembali serta pemulihan maruah dan kedaulatan bangsa Palestin, ujar beliau.
Mohd Azmi berkata masa depan Palestin tidak boleh diserahkan kepada persaingan politik antara kelompok yang berbeza kepimpinan tetapi berkongsi kerangka ideologi asas yang sama.
"Pembebasan Palestin memerlukan akauntabiliti antarabangsa, pengiktirafan terhadap hak-hak Palestin yang tidak boleh dinafikan dan penyelesaian politik yang berlandaskan undang-undang antarabangsa," katanya.




Comments