top of page

Gelap Di Balik Sinar Deepavali: Realiti Pahit Rumah Kebajikan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Rumah perlindungan Mary's Home dan Lindungan Ikhlas di Setapak berkongsi kemeriahan sambutan Deepavali
Rumah perlindungan Mary's Home dan Lindungan Ikhlas di Setapak berkongsi kemeriahan sambutan Deepavali

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Menjelang sambutan Deepavali, rutin tahunan membawa saya ke Mary's Home dan Lindungan Ikhlas di Setapak. Misi saya jelas. Mahu hantar bantuan makanan dan bawa senyuman kepada anak-anak di sini.


​Tahun ini cukup berbeza. Saya bawa sekali rakan-rakan kejiranan untuk serahkan sumbangan secara bersemuka. Bersama Yayasan Seed of Love, kami hulurkan barang keperluan asas kepada dua pusat perlindungan ini.


​Mary's Home kini menempatkan lebih 50 anak. Angka itu naik setiap tahun. Di Lindungan ikhlas, mereka bela anak-anak daripada latar belakang yang sangat rentan. Menguruskan pusat ini bukan kerja mudah. Ia menuntut usaha konsisten, bekalan tak putus, dan dana kukuh.


Kanak kanak perlu perlindungan meningkat


​Hakikatnya, lawatan ini mendedahkan realiti sebenar cabaran sosial kita. Data UNICEF menunjukkan kira-kira 64,000 kanak-kanak di Malaysia tinggal di rumah jagaan dan pusat anak yatim. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sendiri urus lebih 13,000 kanak-kanak. Selebihnya bergantung pada ratusan rumah perlindungan swasta di ibu kota.


​Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kes kanak-kanak memerlukan perlindungan naik 12.7 peratus setahun kepada hampir 10,000 kes. Rekod JPN pula catat lebih 350,000 anak tak sah taraf dalam sedekad.


Puncanya nyata. Rumah tangga runtuh, kemiskinan bandar, dan hidup tidak stabil. Bagi komuniti India yang terjejas, 10 hingga 12 peratus isi rumah masih berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.


​Di sinilah dasar kerajaan wajib bertaut dengan realiti lapangan. Menerusi kerangka Kerajaan MADANI, pelbagai inisiatif digerakkan. Belanjawan memperuntukkan RM16 bilion untuk STR dan SARA, RM1.5 bilion untuk OKU, serta RM1.3 bilion untuk warga emas. Dana MITRA turut dinaikkan kepada RM150 juta bagi memperkasa pendidikan dan kemahiran keluarga India berpendapatan rendah.


​Namun, dasar makro tidak mampu menutup setiap ruang kecil. Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan tempatan amat kritikal. Merekalah barisan hadapan yang memastikan anak-anak ini tidak tersisih.


Sokongan jangka panjang


​Justeru, usaha akar umbi ini perlukan sokongan jangka panjang. Saya menyeru menteri dan pemimpin kabinet berketurunan India agar turun padang secara lebih agresif. Kita perlukan komitmen konkrit untuk upgrade fasiliti, jamin peruntukan tanah tetap, dan sediakan geran berkala bagi rumah kebajikan sebegini.


​Deepavali membawa erti cahaya untuk semua. Tiada kanak-kanak patut dibiarkan merana dalam gelap ketika yang lain riang meraikannya


​Sambil pelita bernyala di rumah kita, hargailah mereka yang berjuang di lapangan setiap hari.


Selamat Hari Deepavali buat anak-anak dan petugas di Mary's Home serta Lindungan Ikhlas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page