Ziarah Kasih Puteri Wangsa: Dr Zaliha santuni golongan memerlukan
- Redzuan Shamsudin

- 7 hours ago
- 1 min read

Program Ziarah Kasih Puteri Wangsa terus menjadi medium penting dalam menyantuni rakyat apabila Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turun padang bertemu penduduk yang berdepan kesukaran hidup di sekitar kawasan berkenaan.
Menurut Dr Zaliha, lawatan tersebut memberi peluang kepadanya mendekati rakyat secara langsung serta memahami keperluan sebenar mereka.
"Saya berkesempatan menziarahi beberapa penduduk yang sedang diuji dengan masalah kesihatan dan kehidupan," kata beliau dalam muat naik di media sosial.
Antara yang diziarahi Dr Zaliha termasuklah Muhammad Shafiq Naqyudin di Kampung Pasir Tebrau yang masih dalam proses pemulihan selepas kemalangan serius tahun lalu, serta Masnah Hashim yang kini uzur dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.
Beliau juga menemui seorang pejuang lama reformasi dikenali sebagai Pak Ali Otai Reformis di Kampung Sri Aman, yang disifatkan banyak berjasa dalam perjuangan rakyat.
"Setiap ziarah membawa kisah dan pengajaran tersendiri. Inilah semangat Puteri Wangsa sentiasa hadir menyantuni, mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan tiada yang terpinggir menghadapi kesusahan bersendirian," ujarnya.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor itu menegaskan bahawa usaha turun padang seperti itu akan terus dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
"Semoga semua yang diziarahi diberikan kesembuhan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan. InsyaAllah, kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan," katanya lagi.
Untuk rekod, DUN Puteri Wangsa terletak dalam Parlimen Sekijang yang pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022 lalu ditandingi sekutu Pakatan Harapan (PH), iaitu parti Muda. Apabila Muda meninggalkan PH maka DUN berkenaan kini diintai oleh KEADILAN dan AMANAH untuk meletak calon sesuai di sana.




Comments