'Zero logging': Jangan bina jambatan untuk pembalak, industri sahaja
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Dasar ‘zero logging’ perlu dipertimbangkan bagi memastikan pembinaan jambatan di Sarawak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar memudahkan operasi syarikat pembalakan.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) yang mencadangkan perkara itu berkata, tanpa dasar yang jelas, jambatan dibina berisiko menjadi laluan utama kepentingan industri, bukannya kemudahan asas yang sepatutnya dimanfaatkan penduduk setempat untuk akses pendidikan, kesihatan dan ekonomi harian mereka.
Beliau berkata, pemegang Lesen Penanaman Hutan (LPF) jangka panjang juga mesti dipertanggungjawabkan untuk menyediakan jalan akses yang baik dan selamat kepada penduduk pedalaman, kerana masih ramai rakyat bergantung kepada jalan balak yang daif dan tidak diselenggara dengan baik oleh pemegang LPF.
"Tambahan pula, beberapa syarikat balak didapati mengenakan ‘tol’ atau bayaran penggunaan jalan balak bagi membawa bahan binaan ke tapak projek, iaitu suatu amalan yang jelas didukung oleh Kerajaan Sarawak meskipun ia menambah beban rakyat dan perlu dihentikan segera bagi memastikan pembangunan benar-benar segera dilaksanakan di pedalaman Sarawak.
"Keadaan ini menuntut Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan lebih serius dan menyeluruh dalam membangunkan kawasan pedalaman yang sekian lama terpinggir.
"Kontraktor yang dilantik mesti berwibawa dan boleh dipercayai agar projek jambatan dan jalan akses tidak berakhir sebagai 'projek sakit' dan bukan sekadar simbol pembangunan, tetapi benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat pedalaman, memudahkan pergerakan harian, dan membuka peluang ekonomi bagi penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Roland berpendapat, satu badan khas perlu ditubuhkan bagi memantau dan mengaudit projek-projek Kerajaan di pedalaman Sarawak sepanjang masa bertujuan mengelakkan ketirisan dan mengekalkan tatakelola yang baik.
"Semua pihak pasti bersetuju bahawa tujuan sesuatu projek pembangunan itu ialah untuk kemudahan dan keselesaan rakyat, bukannya untuk keuntungan dan kelangsungan perniagaan syarikat semata-mata.
"Pembinaan 29 projek jambatan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di beberapa bahagian negeri ini, termasuk Kuching, Serian, Sibu, Kapit dan Miri tidak harus dilihat sebagai penyelesaian menyeluruh terhadap pembangunan luar bandar di negeri ini.
"Ia kerana usaha membina atau menaik taraf jambatan sahaja tidak mencukupi sekiranya Kerajaan masih mengekalkan dasar pembalakan di kawasan pedalaman," ujarnya lagi.




Comments