Zahid ukur dulu kekuatan sendiri sebelum cabar 'Guru' - Saifuddin


Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disaran tidak terlalu ghairah mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membubarkan Parlimen ketika pentadbiran Kerajaan MADANI berjalan dengan baik.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Zahid perlu menyedari kedudukan sebenar Barisan Nasional (BN) yang hanya mempunyai 30 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Harapan (PH) dengan 79 kerusi.
"Kalau sudah begitu yakin, tarik sahaja sokongan Ahli Parlimen BN. Jangan terdesak sehingga minta orang lain membubarkan Parlimen untuk membuktikan sesuatu yang belum pasti," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan sama, Saifuddin turut membangkitkan perkembangan dalam Umno yang menunjukkan tidak semua pemimpin parti itu berpendirian sama seperti Zahid.
Penyertaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke India tegasnya merupakan isyarat halus menunjukkan bagaimana sesetengah pemimpin parti itu hendak bekerja dengan jujur.
"Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula melihat kerjasama PH-BN sebagai pilihan utama di Pahang.
"Hal yang ketara adalah di dalam Umno sendiri belum jelas siapa ikut siapa dan pimpinan mana yang betul-betul yakin atas tindakan Zahid Hamidi menyerang Kerajaan MADANI. Malah resolusi Umno untuk kekal dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan juga sudah menjawab segala-galanya," tambahnya.
Sehubungan itu, Saifuddin mengingatkan Zahid supaya menilai terlebih dahulu kekuatan politiknya sendiri sebelum terus mencabar Perdana Menteri.
"Zahid Hamidi seeloknya, sebelum mempertikai dan mencabar Guru, pastikan dahulu diri sendiri memiliki ramuan politik yang mencukupi.
"Risau nanti ‘rakan-rakan’ sekelas pula yang mencari jalan untuk menyingkirkan anda lebih awal," sinisnya.




Comments