Zahid jangan bawa politik budak-budak ke Putrajaya – Mahfuz


Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya terlalu mempertikaikan perubahan nama daripada Kerajaan Perpaduan kepada Kerajaan MADANI kerana perkara lebih penting ialah amanah dan prestasi kerajaan kepada rakyat, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Beliau berkata, politik negara tidak wajar dilayan seperti perebutan nama kumpulan permainan, sebaliknya semua parti dalam kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.
"Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan bagaimana ‘Kerajaan Perpaduan bertukar menjadi Kerajaan Madani’ menunjukkan seolah-olah beliau lebih sibuk mempertikaikan nama kerajaan daripada melihat amanah dan prestasi kerajaan kepada rakyat.
"Kalau benar mahu politik matang, janganlah politik negara dilayan seperti budak-budak berebut nama kumpulan permainan," katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata, perubahan nama atau pendekatan kerajaan tidak sepatutnya dijadikan isu besar selagi pentadbiran terus menunaikan amanah kepada rakyat.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan pandangan Zahid bahawa janji perlu dihormati dan tiada pihak seharusnya mengkhianati rakan dalam kerjasama politik.
Namun, katanya, prinsip itu perlu diterapkan kepada semua pihak termasuk Umno sendiri.
"Nasihat itu baik. Tetapi saya ingin mengingatkan bahawa jangan hanya suruh orang lain melihat cermin. Diri sendiri juga perlu berani melihat cermin sendiri," katanya.
Mahfuz menegaskan kerjasama dalam Kerajaan MADANI tidak bermakna parti-parti yang terlibat perlu membuang identiti masing-masing.
"Umno tetap Umno, AMANAH tetap AMANAH dan parti-parti lain tetap dengan identiti masing-masing.
"Tetapi apabila duduk dalam satu kerajaan, amanah kepada rakyat mesti lebih besar daripada kepentingan parti," katanya.
Beliau berkata, rakyat ketika ini tidak begitu mengambil berat sama ada kerajaan dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan, Kerajaan MADANI atau nama lain.
Sebaliknya, kata beliau, perkara lebih penting ialah kemampuan kerajaan menangani kos sara hidup, menyediakan bantuan kepada rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan serta membanteras rasuah.
"Rakyat mahu tahu apa perancangan masa depan. Boleh kawal kos sara hidup atau tidak, apa bantuan untuk ringankan rakyat, ekonomi berkembang atau tidak? Peluang pekerjaan bertambah atau tidak? Rasuah diperangi atau tidak? Institusi negara diperkuat atau tidak? Kehidupan rakyat bertambah baik atau tidak?
"Itulah ukuran kerajaan," katanya.
Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menggunakan analogi sebuah rumah yang dicat semula bagi menggambarkan bahawa nama bukan perkara utama dalam menentukan keberkesanan sesebuah kerajaan.
"Yang penting rumah itu kukuh, tidak bocor dan penghuninya selamat. Begitu juga kerajaan. Nama boleh berubah. Pendekatan boleh diperbaharui. Tetapi amanah kepada rakyat tidak boleh berubah," katanya.
Beliau berkata, kenyataan Zahid mengenai perubahan daripada Kerajaan Perpaduan kepada Kerajaan MADANI tidak sepatutnya dibesar-besarkan sehingga mengalih perhatian daripada isu lebih besar berkaitan kepentingan rakyat.
"Orang dewasa bercakap tentang masa depan negara. Budak-budak bergaduh tentang nama permainan. Jangan bawa politik seperti itu ke Putrajaya," sinisnya.
Mahfuz berkata, sudah tiba masanya politik negara beralih daripada perebutan kuasa kepada persaingan untuk membuktikan parti dan pemimpin mana yang paling banyak memberi khidmat kepada rakyat.




Comments