top of page

Wujud mekanisme tetap Parlimen Asia sokong perjuangan Palestin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) mencadangkan mekanisme operasi tetap dalam kalangan Parlimen Asia wajar diwujudkan


Langkah tersebut jelasnya bagi membolehkan tindakan lebih pantas, terselaras dan berterusan digerakkan untuk menyokong perjuangan Palestin.


"Walaupun sokongan terhadap Palestin di seluruh Asia kekal kukuh, kekurangan penyelarasan masih menjadi kekangan utama kepada respons kolektif yang berkesan, khususnya ketika krisis.


"Justeru, kita memerlukan mekanisme operasi tetap yang membolehkan ahli parlimen Asia menyelaras pendirian dengan pantas, bertindak secara kolektif ketika krisis dan mengekalkan tekanan melangkaui tumpuan media," katanya pada Global Sumud Parliamentary Congress di Brussels, Belgium.


Sehubungan itu Syed Ibrahim menggariskan tiga pendekatan bagi memperkukuh kerjasama dalam kalangan Ahli Parlimen Asia, bermula dengan pendekatan institusi berteraskan platform sedia ada seperti ASEAN, Kesatuan Parlimen Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).


"Pakatan parlimen rentas wilayah di Asia tidak perlu dibina dari awal. Kita boleh memperkukuhnya melalui platform sedia ada," katanya dipetik.


Ahli Parlimen Ledang itu turut mencadangkan pembentukan “gabungan negara yang bersedia”, iaitu blok kecil parlimen sehaluan yang mampu bertindak segera tanpa perlu menunggu konsensus penuh.


"Kita tidak boleh menunggu konsensus multilateral sepenuhnya kerana rakyat Gaza tidak mempunyai masa sebegitu. Blok sukarela ini boleh bergerak pantas, bersuara dengan satu nada dan menjadi pemangkin kepada negara Asia lain," tegasnya.


Pada kongres julung kali itu juga beliau menekankan keperluan beralih kepada pendekatan berasaskan fungsi dengan menggesa pakatan dibina berteraskan misi konkrit seperti koridor maritim kemanusiaan ke Gaza.


"Sebarang koridor maritim kemanusiaan ke Gaza akhirnya perlu melalui atau disokong dari perairan Indo-Pasifik. Faktor geografi ini menjadikan ahli parlimen Asia-Pasifik sebagai pemegang taruh operasi, bukan sekadar peserta simbolik," ujarnya.


Beliau turut memaklumkan kepada kongres tersebut bahawa sokongan Malaysia terhadap Palestin melangkaui perbezaan politik, dengan penglibatan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pertubuhan masyarakat sivil, sekali gus mencerminkan komitmen nasional yang menyeluruh.


"Ini bukan soal satu kerajaan atau satu pihak. Ia adalah pendirian bersama Malaysia yang telah diamalkan sejak sekian lama," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page