Orang lain mencatur, Anwar dipersalahkan: Itu tuduhan gila - AMK
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam pergolakan politik yang sedang melanda pembangkang khususnya membabitkan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tuduhan "gila"
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, tuduhan yang dikaitkan dengan Perdana Menteri itu sebagai tidak berasas memandangkan krisis yang berlaku berpunca daripada kelemahan kepimpinan dan perebutan kuasa dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional itu sendiri.
Sebelum ini, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mendakwa Anwar mempunyai peranan dalam perkembangan politik yang sedang berlaku dalam gabungan pembangkang yang bergolak sehingga Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu baru baru ini.
"Orang lain yang rakus mencatur, bermain politik, mewujudkan ketidakstabilan, tikam-menikam, langkah Dubai, langkah Bangkok, langkah sumbang, akhirnya Anwar juga yang dipersalahkan.
"Marzuki sendiri menyebut tentang pergolakan dalaman pembangkang yang berpunca daripada isu perebutan kerusi, kenapa Anwar pula yang bertanggungjawab? Gila," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, pergolakan yang berlaku dalam PN adalah akibat kelemahan kepimpinan gabungan itu sendiri.
Justeru itu, beliau mempersoalkan pihak terbabit mengaitkan orang lain yang tidak mempunyai peranan dengan konflik tersebut.
Menurutnya, PN dan Muafakat Nasional (MN) juga terbukti gagal menawarkan hala tuju yang jelas kepada rakyat khususnya dalam aspek ekonomi dan pembangunan negara.
"PN dan MN ternyata kedua-duanya adalah pakatan politik yang gagal. Tak ada pelan ekonomi yang jelas, tak ada agenda pembangunan yang kukuh. Hanya menunggang seputar isu kaum dan agama yang sempit," katanya.
Beliau turut mempertahankan Anwar yang menurutnya sedang memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran dan usaha memperkukuh ekonomi negara ketika pihak lain terus terlibat dalam percaturan politik.
"Anwar baru pulang dari Tokyo semalam, sedang sibuk mengurus negara bagi memastikan ekonomi kukuh dan berdaya tahan. Yang lain-lain itu sibuk juga, tapi sibuk dengan percaturan politik tebuk kapal dan tebuk atap," katanya.
Terdahulu dakwaan Marzuki itu dibuat ketika spekulasi mengenai keretakan hubungan dalam PN semakin hangat susulan kenyataan beberapa pemimpin utama yang secara terbuka membangkitkan isu kepimpinan, pembahagian kerusi serta hala tuju gabungan berkenaan menjelang pilihan raya akan datang.
Pada 8 Jun lalu, Pas, blok pembangkang terbesar secara rasmi mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Presiden Pas, Hj Hadi Awang dilaporkan berkata Bersatu masih ahli PN buat masa ini kerana sebarang keputusan mengenai status keanggotaan perlu diputuskan oleh majoriti parti komponen gabungan.
Satu mesyuarat khas PN dijangka diadakan minggu depan bagi menentukan kedudukan tersebut.
Perkembangan paling menarik ialah hubungan yang semakin rapat antara Pas dengan kumpulan RESET yang diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Abdul Hadi mengesahkan beliau telah bertemu pimpinan RESET dan akan hadir merasmikan Konvensyen RESET di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu.
Beliau turut memberi bayangan akan mengumumkan beberapa perkara penting.
Ahli Parlimen Marang itu juga tidak menolak kemungkinan kumpulan RESET dijemput menyertai PN.




Comments