Dasar mudahkan pajakan tanah era PH tadbir Melaka untungkan Melayu


Dasar tanah yang diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir Melaka sebelum ini memberi peluang kepada rakyat, khususnya orang Melayu dan masyarakat Islam memiliki hartanah di atas tanah pajakan 99 tahun dengan lebih terjamin.
Mantan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari (gambar) berkata, dasar tanah yang diperkenalkan pihaknya itu membolehkan tanah-tanah pajakan bagi tujuan penempatan ditukar kepada status Tanah Adat Melaka (MCL) dengan bayaran RM1,000 bagi tanah kediaman.
"Begitulah juga dengan dasar tanah MCL. Saya mulakan dasar tanah di mana tanah-tanah pajakan yang selalu kita sebut tanah 99 tahun, kalau tanah itu adalah tanah penempatan, nak ditukar kepada MCL, boleh ditukar dengan hanya membayar RM1,000 tanah untuk kediaman.
"Ini antara dasar yang kita perkenalkan ketika zaman Pakatan Harapan. Tujuannya untuk (menangani) kebimbangan rakyat, khususnya orang Melayu dan masyarakat Islam, yang bimbang sekiranya tinggal di atas tanah berstatus pajakan 99 tahun.
"Selalunya, apabila hendak membeli rumah, orang ramai bimbang sama ada tanah itu berstatus pegangan bebas (freehold) atau pajakan (leasehold).
"Sebenarnya, bagi tanah untuk tujuan kediaman, apa salahnya dasar itu diteruskan? Maknanya, status tanah itu boleh dikekalkan," kata beliau menerusi satu siaran video.
Dalam video sama, Adly turut menjadikan kediaman di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai contoh bagi menjelaskan isu status pemilikan tanah.
"Kalau kita lihat Kampung Baru, kita tahu bahawa kebanyakan tanah di situ berstatus pajakan, malah ada yang tempoh pajakannya (sudah berbaki) 30 hingga 20 tahun.
"Jadi (dengan dasar yang disebutkan tadi), mereka boleh melanjutkan semula tempoh pajakan kepada 99 tahun tanpa mengira tempoh yang berbaki dengan hanya membayar RM1,000," ujarnya lagi.




Comments