BN jelaskan status 55 projek di Melaka sebelum minta mandat baharu


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Kerajaan BN yang mentadbir digesa menjelaskan perkembangan terkini 55 projek pembangunan yang dilaporkan masih belum dimulakan pada Jun tahun lalu sebelum meminta mandat baharu daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Sivamalar Genapathy berkata rakyat berhak mengetahui status projek-projek berkenaan setelah hampir 17 bulan perkara itu diumumkan sendiri oleh Ab Rauf.
"Persoalannya, apakah yang telah berubah sepanjang tempoh tersebut? Sebelum meminta mandat baharu daripada rakyat Melaka, Ab Rauf perlu tampil membentangkan rekod pelaksanaan projek-projek berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sivamalar, Ketua Menteri pada 10 Jun tahun lalu memaklumkan daripada keseluruhan 241 projek pembangunan negeri, sebanyak 86 projek telah siap, 100 sedang dilaksanakan manakala 55 lagi masih belum dimulakan.
Beliau berkata keadaan itu lebih membimbangkan apabila sehingga 31 Mei tahun lalu hanya RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM88 juta telah dibelanjakan.
"Angka-angka ini menggambarkan kedudukan pada tahun 2025. Namun selepas hampir 17 bulan, rakyat wajar diberikan gambaran terkini tentang kemajuan sebenar pelaksanaan projek-projek tersebut.
"Adakah kesemua 55 projek itu kini telah dimulakan? Berapa yang sudah siap dan berapa pula yang masih tertangguh?" katanya.
Sivamalar berkata projek pembangunan yang tertangguh bukan sekadar melibatkan angka dalam laporan kerajaan sebaliknya berkemungkinan membabitkan kemudahan awam, infrastruktur dan keperluan masyarakat yang dinantikan penduduk.
Beliau mengakui pelaksanaan projek pembangunan boleh berdepan pelbagai kekangan termasuk urusan perolehan, kelulusan teknikal, isu tanah, masalah kontraktor dan kelewatan penyaluran peruntukan.
Bagaimanapun katanya kekangan pentadbiran tidak seharusnya dijadikan alasan berpanjangan tanpa penjelasan serta tindakan penyelesaian yang jelas.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menerbitkan senarai lengkap 55 projek terbabit termasuk lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana, jadual asal, status pelaksanaan terkini dan sasaran penyiapan.
Katanya kerajaan negeri juga perlu menjelaskan kedudukan peruntukan yang diluluskan, jumlah dana yang telah disalurkan serta perbelanjaan sebenar supaya prestasi pelaksanaan dapat dinilai berdasarkan fakta.
"Jika projek-projek tersebut sudah siap, tunjukkan hasilnya kepada rakyat. Jika masih tertangguh, jelaskan puncanya dan bentangkan pelan penyelesaiannya.
"Ini bukan soal mencari kesalahan semata-mata, tetapi soal kebertanggungjawaban dalam mengurus wang rakyat dan memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang nyata," katanya.
Beliau menegaskan pentadbiran Ab Rauf perlu membuktikan rekod pencapaiannya secara terbuka sebelum Barisan Nasional (BN) meminta kepercayaan rakyat untuk meneruskan mandat pemerintahan bagi tempoh lima tahun lagi.
Katanya rakyat berhak menilai prestasi kerajaan berdasarkan hasil kerja yang boleh disemak, bukannya sekadar pengumuman projek, angka peruntukan atau janji politik.
"Mandat lima tahun bukan lesen untuk mengelak daripada menjawab prestasi pentadbiran sebelumnya.
"Mandat baharu mesti diraih melalui rekod prestasi yang boleh disemak, bukan sekadar janji yang diulang," katanya.




Comments