Sahifah Madinah wajar jadi rujukan perpaduan masyarakat majmuk – Amidi


Sahifah Madinah wajar dijadikan rujukan penting dalam membina kerjasama, perpaduan dan menjaga hak masyarakat berbilang agama di Malaysia.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN (BiPPA), Amidi Abdul Manan berkata, umat Islam di negara ini perlu menerima hakikat kehidupan bersama masyarakat bukan Islam dengan mengamalkan prinsip kesederhanaan dan saling menghormati.
Beliau berkata, pemikir Islam Malaysia, Allahyarham Dr Siddiq Fadzil pernah menyarankan supaya Sahifah Madinah dijadikan panduan dalam membentuk hubungan antara masyarakat berbeza agama.
"Pemikir Islam di Malaysia, Dr Siddiq Fadzil menyarankan untuk menjadikan Sahifah Madinah sebagai rujukan penting bagi membina kerjasama dan perpaduan serta menjaga hak masing-masing.

"Semangat kita menerima apa yang mereka terima dan mereka memikul tanggungjawab yang sama dengan kita perlu diterjemah ke dalam kehidupan kami di Malaysia.
"Itulah kesederhanaan yang perlu dipupuk dalam masyarakat kita," katanya dalam ucapan pada Muktamar Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di Istanbul, Turkiye.
Muktamar bertemakan Kesatuan Umat Wasatiy: Dari Prinsip Asas kepada Piagam Kesatuan itu berlangsung di Hotel Birun Ada, Pulau Demokrasi dan Kebebasan, dari 28 hingga 30 Oktober 2026.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 perwakilan dan jemputan dari seluruh dunia Islam.

Ucapan utama muktamar disampaikan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin al-Qaradhaghi, yang juga Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 2024.
Amidi berkata, prinsip hidup bersama dalam masyarakat majmuk perlu diterjemahkan melalui sikap saling menerima, menghormati hak serta memikul tanggungjawab bersama tanpa mengira perbezaan agama.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memupuk kesederhanaan dan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat Malaysia.
Turut serta ke persidangan itu, AJK BiPPA, Ust Syamsul Firdaus Mohamed Supri.




Comments