top of page

Rumah rakyat, selesai isu banjir keutamaan Azman di DUN Paya Rumput

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
4 hours ago
2 min read
Datuk Azman Abidin (kiri) dalam program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai, semalam
Datuk Azman Abidin (kiri) dalam program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai, semalam

Isu keperluan perumahan rakyat dan penyelesaian masalah banjir antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.


Azman berkata, beliau mahu memanfaatkan pengalaman, kedudukan serta jaringan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan keperluan penduduk di kawasan itu mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.


Menurutnya, hubungan baik antara kedua-dua kerajaan juga boleh membantu mempercepatkan penyaluran peruntukan serta pelaksanaan projek yang diperlukan rakyat.


Beliau berkata, antara perkembangan penting ialah pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek perumahan rakyat baharu yang turut membabitkan Paya Rumput dalam Belanjawan 2027.


Katanya, projek berkenaan dilihat mampu membantu menangani keperluan perumahan yang semakin mendesak dalam kalangan penduduk setempat.


"Belanjawan 2027, Perdana Menteri sendiri menyebut nama Paya Rumput yang akan mendapat satu lagi projek perumahan rakyat. Ini salah satu keperluan mendesak untuk rakyat di Paya Rumput.


"Jadi, kedudukan dan jaringan yang kita ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat, termasuk menghubungkan keperluan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan supaya peruntukan dan saluran bantuan dapat dipercepatkan," katanya ketika ditemui dalam program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai, semalam.


Selain perumahan, Azman berkata, masalah banjir khususnya di kawasan Sungai Rambai turut menjadi perhatian berikutan kejadian banjir yang sering menjejaskan penduduk di kawasan terbabit.


Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri mengenai pengurusan dan projek tebatan banjir di Sungai Rambai merupakan perkembangan penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani.


"Perdana Menteri juga membuat pengumuman mengenai pengurusan banjir dan tebatan banjir di Sungai Rambai. Ini penting kerana kita tahu masalah banjir sering berlaku di kawasan ini dan menjejaskan penduduk," katanya.


Dalam pada itu, Azman berkata, beliau berharap penerimaan positif masyarakat sepanjang tempoh berkempen dapat diterjemahkan kepada sokongan pada hari pengundian, 14 November ini.


Katanya, beliau melihat suasana kempen setakat ini berlangsung harmoni dengan sambutan baik daripada penduduk, meskipun masih terdapat pengundi yang belum mengenalinya secara dekat.


"Saya nampak alhamdulillah setakat ini semua orang boleh menerima saya. Cuma saya harapkan penerimaan ini dapat diterjemahkan dalam pilihan raya nanti.


"Saya harap dapat membuat satu perubahan yang baik untuk orang Paya Rumput," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page