Ulama lawan normalisasi keganasan, pertahan nilai kemanusiaan - PM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ulama dan pemimpin agama di seluruh dunia tampil mempertahankan nilai kemanusiaan serta menentang normalisasi keganasan dan peperangan yang semakin diterima sebagai perkara biasa dalam landskap global masa kini.
Menurut Perdana Menteri dunia kini berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila pembunuhan wanita dan kanak-kanak, kemusnahan serta pencabulan maruah manusia semakin dianggap sebagai sesuatu yang lumrah.
"Peranan pemimpin agama kekal lebih relevan berbanding sebelum ini kerana saudara-saudari mewakili suara hati nurani, kewarasan, kesabaran dan toleransi yang semakin berkurangan dalam dunia hari ini.
"Ada yang menyifatkan keadaan ini sebagai zaman pasca-normal. Takrifan normaliti oleh mereka yang memegang kuasa dan mempunyai cengkaman kuat terhadap media antarabangsa sedang diselewengkan secara asasnya," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang berkenan menyempurnakan persidangan berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Agung Rabitat al-Alam al-Islami (Muslim World League), Sheikh Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.
Anwar berkata peperangan yang meragut nyawa orang awam kini semakin dinormalisasikan sehingga tidak lagi mencetuskan kejutan kepada masyarakat antarabangsa.
"Peperangan yang menyaksikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak secara sewenang-wenangnya digambarkan sebagai sesuatu yang tidak luar biasa.
"Anak-anak muda dan generasi baharu terus terdedah kepada adegan rogol, kemusnahan dan penghinaan terhadap maruah manusia," katanya.
Beliau turut menyifatkan tragedi kemanusiaan yang berterusan di Gaza dan Lebanon sebagai bukti kegagalan dunia mempertahankan prinsip moral serta undang-undang antarabangsa.
"Penyahkemanusiaan masyarakat dan berterusannya genosid, sama ada di Gaza mahupun pengeboman berterusan di Lebanon terus berlaku.
"Gencatan senjata diumumkan hanya untuk dicabuli sebelum dakwat perjanjian itu kering. Pengeboman diteruskan walaupun rundingan sedang berlangsung," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin agama daripada pelbagai kepercayaan agar terus menggunakan pengaruh moral masing-masing bagi menegakkan keamanan dan keadilan sejagat.
"Bukan sahaja Rabitah malah pemimpin agama perlu terus bersuara, menggunakan pengaruh dan memberi tekanan kepada mereka yang mempunyai kuasa serta meyakinkan dunia bahawa kemanusiaan mesti berasaskan pertimbangan moral dan etika yang kukuh," katanya.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan bahawa agama tidak seharusnya diperalatkan untuk menyemarakkan kebencian dan perpecahan.
"Agama yang sepatutnya menjadi sumber keamanan, ketenteraman, kemakmuran dan perpaduan sering kali dipolitikkan dan dimanipulasi untuk mencetuskan permusuhan.
"Kita sepatutnya mempromosikan keamanan tetapi ada yang menggalakkan perpecahan. Kita sepatutnya menegakkan toleransi dan keadilan tetapi ada yang menghalalkan keganasan dan ketidakadilan," katanya.
Beliau berkata Malaysia membuktikan masyarakat berbilang agama dan kaum mampu hidup dalam keadaan aman serta saling menghormati, dengan Islam kekal sebagai agama Persekutuan tanpa menafikan hak dan keselamatan rakyat daripada latar belakang yang berbeza.
"Kekuatan kita bukan terletak pada keseragaman tetapi pada keupayaan kita menguruskan perbezaan secara adil dan saksama," katanya.




Comments