top of page

WFH kurangkan guna bahan api, ringan kos hidup - AMK Kedah

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim yang menggesa sektor swasta melihat pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) sebagai langkah progresif dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi semasa.


Ketua AMK Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, negara memerlukan keberanian untuk menyesuaikan diri dengan model kerja yang lebih fleksibel, inovatif dan berorientasikan masa depan di saat dunia sedang berdepan dengan ketegangan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada harga tenaga dan kestabilan ekonomi antarabangsa.


Katanya, WFH juga bukan sekadar solusi sementara, tetapi merupakan manifestasi kepada transformasi budaya kerja yang lebih moden dan efisien.


"Pengalaman negara ketika tempoh pandemik telah membuktikan bahawa produktiviti tidak semestinya terikat kepada kehadiran fizikal di pejabat, sebaliknya boleh dipacu melalui kepercayaan, teknologi dan pengurusan kerja yang lebih dinamik.

Mohammad Fitri Ismail
Mohammad Fitri Ismail

"Dalam masa yang sama, pendekatan ini juga memberi kelegaan kepada rakyat khususnya golongan pekerja yang terpaksa menanggung kos pengangkutan harian yang semakin meningkat.


"Dengan mengurangkan keperluan perjalanan, WFH mampu membantu meringankan beban kos sara hidup sambil menyumbang kepada usaha negara mengurus tekanan subsidi bahan api," katanya dalam satu kenyataan.


Mohammad Fitri berkata, pihaknya turut menyambut baik langkah kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memilih pendekatan berhemah melalui pengurangan perbelanjaan keraian dan lawatan kerja luar negara.


Beliau yang juga Ketua AMK Merbok menyifatkan, keputusan tersebut mencerminkan prinsip kepimpinan yang bertanggungjawab dan semangat 'shared sacrifice' demi memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.


Oleh itu katanya, AMK Kedah menyeru sektor swasta agar tidak melihat perubahan tersebut dengan skeptikal, sebaliknya ketika ini merupakan masa terbaik bagi membina budaya kerja yang lebih adaptif, selari dengan perkembangan ekonomi digital dan tuntutan zaman yang semakin mencabar.


"Malaysia memerlukan ekosistem kerja yang berani berubah bukan sekadar untuk menghadapi krisis semasa, tetapi untuk mempersiapkan negara menghadapi masa depan yang lebih kompetitif.


"Kami percaya bahawa apabila kerajaan, sektor swasta dan rakyat bergerak dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara yang tangkas, berdaya tahan dan berwawasan dalam mendepani apa jua cabaran global," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page