Program Wakalah Zakat baiki rumah asnaf miskin di Cheras
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Dana zakat yang diamanahkan oleh umat Islam terus memberi sinar baharu kepada golongan memerlukan apabila ia dimanfaatkan untuk memperbaiki kehidupan mereka secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya hari ini menziarahi seorang asnaf di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras bagi menyaksikan transformasi yang dilakukan terhadap kediaman tersebut.
"Kita laksanakan program melibatkan kerjasama antara Sun Life dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Alhamdulillah ini merupakan program yang sangat signifikan iaitu, pertama kita menambah baik rumah dengan mencantikkan lagi rumah yang dibiayai oleh Sun Life.
"Ia melibatkan lebih lapan buah rumah dan Insya-Allah kita akan teruskan lagi program seperti ini bersama pembayar zakat kita.
"Alhamdulillah ini adalah program Wakalah Zakat, jadi kita nak beritahu kepada pembayar zakat supaya terus memberikan amanah kepada MAIWP yang melaksanakan amanah ini dengan sangat baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di PPR tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam lawatan itu katanya, jelas terpancar keceriaan wajah keluarga Puan Nor Kamalia susulan transformasi yang dilakukan terhadap kediaman mereka.
"Selain itu, MAIWP turut memberi sumbangan secara bulanan bukan sahaja (merangkumi) barangan keperluan, tetapi kesihatan dan juga barangan-barangan yang lain.
"Ini merupakan sumbangan daripada awal (bagi) membantu masyarakat terutamanya di PPR Desa Tun Razak ini," ujarnya lagi.




Comments