Kemelut tamat: UMNO-PH sepakat kekalkan Kerajaan Perpaduan N Sembilan
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal utuh apabila UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kesepakatan untuk meneruskan kerjasama politik di negeri itu, susulan kemelut politik dan perlembagaan yang tercetus sejak April lalu.
Perkara itu dimuktamadkan melalui Majlis Perundingan Pimpinan UMNO–PH yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.
Dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat itu, kedua-dua parti bersetuju mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi menjamin kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.
"Majlis Perundingan Pimpinan UMNO–Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat," kata kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut kenyataan itu, sebarang isu sensitif melibatkan pentadbiran negeri pada masa depan akan dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO–PH bagi mengelakkan konflik berpanjangan.
"Apa jua keputusan yang boleh mencetuskan sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan," katanya.
Negeri Sembilan berdepan krisis politik dan perlembagaan yang kompleks sejak pertengahan April lalu melibatkan pertikaian antara institusi adat, Istana dan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Kemelut tersebut tercetus apabila berlaku pertikaian berhubung kedudukan Undang Luak Sungai Ujong serta tindakan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), yang akhirnya membawa kepada pengisytiharan kontroversi pelucutan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh sekumpulan Undang.
Situasi itu mencetuskan ketegangan besar dalam struktur adat dan perlembagaan negeri, selain memberi kesan langsung kepada kestabilan politik.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 27 April lalu, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keabsahan majoriti kerajaan negeri.
Namun, sokongan tersebut kemudiannya berubah apabila kumpulan ADUN berkenaan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Aminuddin bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
Krisis itu turut memperlihatkan perbezaan pendirian dalam UMNO Negeri Sembilan, apabila terdapat pemimpin negeri yang mencadangkan parti itu menjadi pembangkang.
Bagaimanapun, kepimpinan UMNO Pusat menegaskan bahawa semua ADUN parti itu kekal bersama Kerajaan Perpaduan dan tidak bercadang untuk menjadi pembangkang.




Comments