Harga beras melonjak jika harga belian padi naik mendadak - MADA
- Suara Keadilan

- 1 minute ago
- 2 min read

Cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk menetapkan harga lantai belian padi pada kadar RM3,000 bagi setiap tan metrik dilihat berisiko memberi kesan berantai kepada harga beras tempatan di pasaran.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata sebarang kenaikan mendadak pada harga lantai padi tidak boleh dinilai secara terpisah tanpa mengambil kira keseluruhan rantaian kos daripada peringkat pengeluaran hingga kepada pengguna.
Menurut beliau, jika harga lantai dinaikkan ke paras RM3,000, kesannya hampir pasti akan diterjemahkan kepada kenaikan harga beras runcit.
"Secara asasnya, kenaikan itu boleh menyebabkan harga beras melepasi RM6 sekilogram atau lebih RM60 bagi setiap 10 kilogram. Hubungan antara harga padi dan beras tidak boleh dipisahkan," katanya ketika ditemui pada sidang media di Alor Setar hari ini.
Beliau mengulas cadangan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mencadangkan harga lantai RM3,000 sebagai antara tawaran sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas sebelum ini menyatakan cadangan tersebut bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah serta memperkukuh sektor agromakanan negara dan akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan.
Ismail bagaimanapun, menyifatkan angka yang dicadangkan itu sebagai tidak berpijak pada realiti industri semasa, selain berpotensi menjadi retorik politik semata-mata.
"Kalau sekadar mahu menaikkan semangat, angka boleh disebut apa sahaja. Tetapi dalam industri sebenar, kita perlu melihat kemampuan pasaran dan kesan kepada pengguna," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelarasan harga lantai padi sebelum ini dibuat secara berperingkat termasuk kenaikan daripada RM1,200 kepada RM1,300 dan seterusnya RM1,500 di bawah pentadbiran semasa, dengan mengambil kira keseimbangan antara kebajikan pesawah dan kestabilan harga makanan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan sedang meneliti pendekatan mekanisme harga apung bagi beras sebagai usaha menstabilkan pasaran domestik.
Katanya, langkah itu penting bagi menangani tekanan kos global, termasuk kenaikan harga input seperti baja dan bahan api, selain faktor harga beras import dari negara pengeluar utama seperti Thailand dan Vietnam.
"Pasaran beras tempatan tidak boleh lari daripada pengaruh harga dunia. Sebab itu kita perlu satu mekanisme lebih fleksibel supaya keseimbangan antara harga padi dan harga beras dapat dikekalkan," katanya.




Comments