top of page

SEKPUR pantau media sosial, gesa pihak provokasi isu 3R ditahan segera

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Mejar (B) Razali (kanan) bercakap dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini
Mejar (B) Razali (kanan) bercakap dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) akan sentiasa memantau sebarang hantaran atau kandungan jelik di media sosial termasuk melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).


Timbalan Pengerusi SEKPUR, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, meskipun seorang lelaki warga tempatan yang disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah ditahan polis, pihaknya komited untuk terus memantau sebarang kandungan di media sosial yang melanggar undang-undang.


"Tahniah kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dapat mengesan seterusnya menangkap orang yang menghina Sultan Selangor.


"Tak kiralah siapa yang terlibat dengan 3R, sekarang ini polis dan SKMM kena tegas, baru boleh dapat tindakan atau mencegah lebih baik daripada mengubati.


"Kita harap orang yang terlibat dan sesiapa yang nak buat provokasi tentang isu 3R ini ditangkap dengan kadar segera," katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun.


Dalam perkembangan sama, Shahbudin menggesa kerajaan memperkasa undang-undang khas bagi menangani penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, termasuk memperluas skopnya kepada Perdana Menteri dan kepimpinan Kerajaan MADANI.


Shahbudin (kiri) menggesa hukum lebih keras kepada pihak hina sultan, provokasi isu 3R
Shahbudin (kiri) menggesa hukum lebih keras kepada pihak hina sultan, provokasi isu 3R

"Saya hanya ingin menegaskan di sini bahawa bilakah perkara seumpama ini akan berhenti? Adakah ini yang kita mahu Raja kita dihina? Kita tidak mahu, sebab kita tahu Raja kita ini satu perkara yang kita amat-amat hormati.


"Ini (penghinaan) merupakan satu perkara yang sensitif. Saya tahu bahawa pihak polis telah membuka kertas siasatan dengan menggunakan tiga seksyen utama.


"Yang pertama Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Sudah lebih 70 tahun. Undang-undang ini bagi yang melakukan kesalahan, hanya didenda maksimum RM5,000.


"Akta Hasutan ini ‘ibu’ kepada undang-undang. Sepatutnya kita memperkasakan akta tersebut, kita memperkemaskan dengan meletakkan denda maksimum ditambahkan dengan hukuman penjara mandatori. Itu yang wajib kita buat," tegas beliau.


Petang semalam, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan di Bukit Mertajam Pulau Pinang kerana disyaki memuat naik hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor di media sosial.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan pada jam 7.10 malam oleh sepasukan polis dari JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan SKMM.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page