Pesawah diberi pendahuluan RM200 sehektar, pastikan tanaman padi diteruskan - PM
- Helmi Mohd Foad

- 4 days ago
- 3 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup khususnya peniaga kecil, penjaja dan pesawah padi di tengah krisis bekalan global yang memberi kesan langsung kepada harga barangan di dalam negara.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan bersetuju menyalurkan bayaran pendahuluan sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah padi bagi memastikan aktiviti penanaman dapat diteruskan, di samping membantu mengurangkan tekanan kos termasuk kenaikan harga diesel.
Perdana Menteri memberitahu, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membantu pesawah yang berdepan kekangan modal, khususnya untuk kerja-kerja pembajakan.
"Mesyuarat tadi bersetuju untuk membayar wang pendahuluan Kadar Khas Insentif Pembajakan mereka terpaksa sewa mesin bajak. Jadi program pembajakan itu mesti diteruskan juga, tetapi mereka perlukan modal.

"Jadi oleh itu, kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi," kata Anwar dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta dan ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara.
Dalam masa sama, kata beliau kerajaan turut meningkatkan kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan daripada RM160 kepada RM300 sehektar susulan kenaikan kos diesel komersial seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar berkata musim kemarau yang panjang di utara Semenanjung memberi kesan kepada pesawah dan peladang, khususnya di Kedah.
"Kita sedar di utara Kedah terutamanya menghadapi musim kemarau yang agak lebih panjang daripada biasa. Itu menyebabkan kesukaran peladang dan juga pesawah," katanya.
Susulan itu, katanya kerajaan meningkatkan usaha pembenihan awan dengan penglibatan Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Beliau menegaskan kerajaan terus berdepan cabaran besar akibat tekanan kos global.
"Kita sering bicara soal tekanan kos sara hidup akibat dari krisis bekalan global yang kian meruncing.
"Maknanya, bekalan yang kita terima itu menyebabkan kos meningkat dan ini kemudian menekan rakyat terutama, peniaga dan penjaja," katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu peniaga kecil di Rawang yang terkesan dengan kenaikan harga barangan secara beransur-ansur.
"Tapi sedikit tiap minggu, jadi kalau dah empat minggu berterusan tentunya mengesankan dan menyukarkan perniagaan beliau," katanya.
Dalam usaha membantu peniaga kecil, kerajaan akan menurunkan kadar sewa premis milik agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings selain menggesa pihak berkuasa tempatan mengikuti langkah sama.
"Meneladani langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewaan, saya ingin menyeru semua pihak berkuasa tempatan negeri-negeri untuk menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini," katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang memberi maklum balas positif terhadap cadangan tersebut.
Dalam pada itu, kata Perdana Menteri kerajaan turut menanggung beban subsidi yang besar, termasuk melibatkan bahan api.
"Walaupun kita akui ia tidak mudah, pertama seperti kita lihat RON95, walaupun kita beri bantuan dan bantuan diesel, ia telah menyebabkan kerajaan menanggung RM5 bilion ringgit tambahan setiap bulan," katanya.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan bersasar bagi membantu golongan rentan.
"Kendatipun begitu, kita terpaksa berdepan dengan masalah dan cuba sedaya upaya meringankan beban yang dihadapi oleh masyarakat dan keluarga mereka, terutama golongan yang relatif lebih kecil, miskin dan rentan," ujarnya.
Selain itu, program Jualan Rahmah MADANI akan diperluas dengan sasaran 30,000 penganjuran tahun ini, berbanding lebih 25,000 tahun lalu sebagai langkah mengurangkan kos barangan keperluan.
"Jualan Rahmah MADANI setakat ini telah berhasil mengurangkan harga sehingga ada yang 30% lebih murah ketimbang harga pasaran," katanya.
"Saya ingin untuk dimulakan segera sekarang... satu, semua kawasan DUN dan kedua, mesti dilakukan sekali pada setiap minggu."
Tambahnya, pelaksanaan program itu akan diperluas ke kawasan luar bandar serta memberi ruang kepada peniaga kecil untuk turut serta.
"Kita tidak mahu ini jadikan satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar tetapi untuk memastikan faedah daripada Jualan Rahmah MADANI ini memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar harga yang lebih murah," katanya.
Anwar menegaskan langkah-langkah tersebut mungkin tidak menyelesaikan keseluruhan masalah, namun diyakini mampu memberi kelegaan kepada rakyat dalam tempoh terdekat.
"Tentunya ikhtiar ini tidak menyelesaikan semua masalah, tetapi saya percaya ia dapat meringankan sedikit tekanan sekarang ini," katanya sambil menambah Kabinet akan terus mencari ikhtiar baharu bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat.




Comments