Warkah buat Cikgu Rafidah



Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh


Untuk Cikgu Rafidah, salam hormat dan salam ilmu saya ungkapkan buat cikgu. Semoga cikgu dalam keadaan sihat walafiat pada jiwa dan raga.


Saya mulakan warkah ini dengan mengutuskan tutur kekaguman buat cikgu atas tekad dan usaha cikgu dalam memandaikan masyarakat. Saya percaya, butir-butir lafaz yang cikgu ungkapkan dalam sesi pengajaran menjadi saham amal kebaikan di hadapan Tuhan nanti.


'Tidak mampu berjaya tanpa guru'


Saya memohon untuk berkongsi rasa dan belas kasih atas tindakbalas sesetengah pihak yang menyanggah ikhtiar cikgu dalam sesi DidikTv baru-baru ini. Selaku individu yang banyak terhutang budi dan bakti kepada guru, saya memohon maaf atas apa yang berlaku.


Sejujurnya, keikhlasan dalam mendidik yang terpancar dari gerak laku dan lafaz kata cikgu membawa saya ke memori sewaktu belajar dahulu.

Saya terkenang pada guru-guru yang pernah mendidik saya sehingga menjadi seperti hari ini.


Malah, kegigihan cikgu untuk mengumpulkan keyakinan dan kekuatan untuk menyempurnakan sesi tersebut mengingatkan saya pada kegigihan isteri saya sendiri selaku pensyarah di universiti. Cikgu, ada mutiara kata yang menyebut, dalam seribu manusia, tiada seorang pun yang mampu berjaya tanpa guru.


Begitu tinggi letak duduk guru dalam masyarakat.


Dalam ribut ada kebaikkan


Saya yakin, ribut hari ini pastinya membawa lebih banyak kebaikan kepada cikgu berbanding keburukan kepada orang lain. Saya doakan agar dalam waktu sukar ini, cikgu dipermudahkan dalam mengolah ruang dan peluang untuk menjadi guru yang ulung. Kerana seperti murid, guru itu sendiri tidak akan pernah berhenti belajar.


Salam hormat dan salam ilmu buat Cikgu Rafidah Rahmat.


“Ya Allah, ampunilah guru-guru kami dan orang yang telah mengajar kami. Sayangilah mereka, muliakanlah mereka dengan keredhaan-Mu yang agung, di tempat yang disenangi di sisi-Mu, wahai Yang Maha Penyayang di antara penyayang.”

__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio