Wanita nadi kekuatan negara, bukan sekadar pelengkap
- Suara Keadilan
- 51 minutes ago
- 2 min read

Wanita bukan sekadar pelengkap dalam pembangunan negara, sebaliknya merupakan nadi kekuatan yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedaulatan dan kemajuan Malaysia.
Hal itu diungkapkan aktivis KEADILAN Wangsa Maju, Lai Chen Heng sempena sambutan Hari Wanita Sedunia baru baru ini. Beliau berkata pengiktirafan terhadap wanita harus diterjemahkan melalui usaha berterusan memartabatkan peranan mereka dalam semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, tema “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” mencerminkan hakikat bahawa kestabilan dan kemajuan negara tidak akan sempurna tanpa penglibatan aktif wanita sebagai arkitek utama masa depan, selari dengan kerangka Malaysia MADANI.
"Kita mengakui bahawa kestabilan dan kemajuan sebuah negara tidak akan sempurna tanpa penglibatan wanita sebagai arkitek utama masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Lai berkata, sejarah dunia telah membuktikan peranan besar wanita melalui tokoh-tokoh ikonik seperti Florence Nightingale yang merevolusikan dunia kejururawatan, Marie Curie yang memecah tradisi dalam bidang sains, serta Rosa Parks yang menjadi simbol keberanian dalam perjuangan hak asasi manusia.
"Semangat kental mereka membuktikan bahawa apabila wanita diberikan ruang, mereka bukan sahaja mampu memimpin, malah mampu merombak sistem menjadi lebih adil dan manusiawi," katanya.
Dalam masa sama, Lai turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa tokoh wanita yang menjadi mentor dan sumber inspirasi sepanjang perjalanan politiknya, termasuk Wan Azizah Wan Ismail, Elizabeth Wong, June Leow dan Tan Yee Kew.
Beliau berkata pengalaman pentadbiran bandaraya turut diperkukuhkan melalui kerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa serta bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif.
"Kerjasama ini membuktikan bahawa kepimpinan wanita membawa perspektif unik — gabungan ketegasan profesional dan empati mendalam dalam menyantuni isu rakyat," katanya.
Pada masa sama, Lai menegaskan kekuatan sebenar gerakan masyarakat turut digerakkan oleh wanita di peringkat komuniti yang menjadi tulang belakang kepada kesejahteraan masyarakat.
"Tanpa dedikasi wanita di peringkat komuniti yang bekerja tanpa henti memastikan kebajikan setiap keluarga terjaga, matlamat membina bandaraya yang sejahtera dan harmoni hanyalah sekadar impian," katanya.
Tambah beliau, reformasi sebenar berlaku apabila masyarakat tidak lagi mempersoalkan kuota penyertaan wanita, sebaliknya mengiktiraf kredibiliti dan kemampuan mereka dalam kepimpinan.
"Daripada dewan Parlimen hingga ke lorong-lorong perumahan, martabat wanita yang diangkat akan secara langsung memperkukuhkan ketahanan serta kedaulatan negara," ujarnya lagi.
Justeru, Lai mengucapkan penghargaan kepada semua mentor dan wanita yang telah memberi inspirasi serta membantunya sepanjang perjuangan politik beliau.
