top of page

Sistem MyRMK: Pastikan setiap manfaat projek RMK-13 dirasai rakyat

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

Kementerian Ekonomi melancarkan Sistem MyRMK sebagai platform pemantauan bersepadu bagi memperkukuh pelaksanaan dan pemantauan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).


Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian, memperkukuh tatakelola dan memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat.


"RMK-13 kini memasuki fasa yang menuntut pelaksanaan pantas, pemantauan rapi dan penyampaian berkesan sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani untuk menaikkan siling ekonomi negara, menaikkan lantai kesejahteraan rakyat dan memperkukuh tatakelola.


"RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan lima tahun tetapi amanah pembangunan negara yang mesti diterjemahkan kepada tindakan, hasil dan manfaat yang dirasai rakyat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan kementerian itu hari ini.


Pelancaran sistem itu diadakan sempena Mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) Perdana yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta mewakili kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri.


Akmal Nasrullah berkata sistem MyRMK dibangunkan bagi menjejak kemajuan pelaksanaan projek, prestasi kewangan, pencapaian output serta isu pelaksanaan merentas kementerian dan agensi.


Jelas beliau sistem itu turut diintegrasikan dengan platform lain seperti MyProjek dan MyBelanjawan bagi membolehkan pemantauan dibuat secara lebih menyeluruh, telus dan responsif.


Beliau menegaskan pemantauan RMK13 tidak akan bergantung kepada sistem semata-mata sebaliknya akan diperkukuh melalui lawatan tapak secara berkala serta libat urus bersama kementerian dan agensi.


"Kita mahu kerajaan yang bukan sahaja membaca data tetapi juga memahami realiti di lapangan.


"Data memberi isyarat tetapi lapangan memberi realiti. Sebab itu pemantauan melalui sistem mesti disokong dengan kehadiran di lapangan dan tindakan susulan yang pantas," jelas beliau.


Akmal Nasrullah berkata sebanyak RM430 bilion diperuntukkan di bawah RMK-13 bagi perbelanjaan pembangunan kerajaan untuk tempoh lima tahun.


Katanya jumlah itu disokong oleh RM120 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta RM61 bilion melalui projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) menjadikan keseluruhan komitmen pembangunan sebanyak RM611 bilion.


Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM81 bilion telah diperuntukkan di bawah bajet pembangunan, ujarnya.


Akmal Nasrullah berkata skop pemantauan kerajaan merangkumi semua projek pembangunan tanpa mengira skala selagi memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.


"Tiada projek yang terlalu kecil untuk dipantau dan tiada program yang terlalu besar untuk dinilai semula. Skala projek mungkin berbeza, tetapi nilai kepada rakyat tetap menjadi ukuran utama," katanya.


Beliau menegaskan kejayaan RMK13 tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah peruntukan atau kadar perbelanjaan sebaliknya sejauh mana rakyat dapat melihat perubahan dan menikmati hasil pembangunan dalam kehidupan seharian.


"Ukuran kejayaan kita bukan hanya berapa banyak yang dibelanjakan, tetapi berapa banyak yang berjaya disampaikan kepada rakyat. Setiap ringgit mesti membawa nilai. Setiap projek mesti membawa kesan. Dan setiap inisiatif mesti membawa perubahan yang boleh dirasai rakyat," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page