Sistem latihan doktor muda perlu diperbaharui, elak sindrom 'burnout'
- Helmi Mohd Foad
- 1 hour ago
- 2 min read

Insiden kematian seorang doktor siswazah wanita yang ditemui di bilik air asrama Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan baru-baru ini membuka ruang perbincangan tentang keperluan reformasi sistem latihan doktor pelatih di Malaysia.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Datuk Dr Mohd Johari Mohamad berkata kejadian tersebut memberi kesan mendalam kepada komuniti perubatan serta masyarakat umum meskipun ia bukan kes pertama berlaku di negara ini.
"Semua pihak perlu menghormati proses siasatan dan menjaga sensitiviti keluarga mangsa, namun pada masa sama ia wajar membuka ruang kepada libat urus melibatkan Kementerian Kesihatan dengan pihak berkepentingan.
"Platform bicara secara terbuka KMM dengan pihak berkepentingan perlu dilaksanakan segara bagi mencari jalan penyelesaian dan mengenal pasti faktor tekanan mental dan jiwa sewaktu bekerja sebagai pengamal perubatan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Di Malaysia, graduan perubatan perlu menjalani latihan housemanship selama kira-kira dua tahun di hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan.
Sepanjang tempoh itu, doktor siswazah menjalani giliran dalam beberapa bidang utama termasuk perubatan dalaman, pembedahan, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik serta perubatan kecemasan atau anestesia.
Namun Mohd Johari berkata, pelaksanaan latihan sering berbeza antara hospital sekali gus mewujudkan variasi dari segi beban kerja, tahap penyeliaan serta pengalaman pembelajaran doktor pelatih.
"Isu beban kerja sering dibangkitkan dalam kalangan komuniti perubatan. Di United Kingdom, waktu kerja doktor muda dikawal melalui had masa kerja yang jelas sekitar 48 jam seminggu serta tempoh rehat mandatori.
"Ia bertujuan mengurangkan keletihan dan memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat," katanya.
Sebaliknya di Malaysia, jelas beliau doktor pelatih dilaporkan bekerja antara 60 hingga 90 jam seminggu dengan syif panggilan yang panjang serta tempoh rehat tidak seragam.
"Walaupun beban kerja tinggi memberikan pendedahan klinikal yang luas, ia juga berpotensi meningkatkan risiko keletihan melampau, tekanan mental dan sindrom ‘burnout’ dalam kalangan doktor muda," ujarnya.
Dalam masa sama beliau menyatakan sistem kesihatan negara turut berdepan cabaran sumber manusia yang menyaksikan nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia meningkat kepada 1:412 pada 2022 berbanding 1:758 pada 2012.
Bagaimanapun, jelas Mohd Johari data Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 6,900 petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, pakar dan jururawat telah meletakkan jawatan antara 2020 hingga 2025 untuk beralih ke sektor swasta atau bekerja di luar negara.
Sehubungan itu, beliau berkata isu kesejahteraan tenaga kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada agenda reformasi sistem kesihatan negara.
Beliau mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan termasuk memperkukuh sistem penyeliaan dan sokongan kepada doktor pelatih, menilai semula struktur waktu kerja dan syif panggilan serta memperluas sokongan kesihatan mental bagi petugas kesihatan muda.
Dalam masa sama, kata beliau mekanisme pemantauan latihan housemanship turut perlu diperkasakan agar standard latihan lebih konsisten antara hospital.
Insiden yang berlaku seharusnya menjadi peringatan bahawa sistem kesihatan bukan sahaja bergantung kepada kemudahan dan teknologi tetapi juga kepada kesejahteraan manusia, jelasnya.
"Reformasi berpaksikan kesejahteraan tenaga kesihatan akan memastikan sistem kesihatan Malaysia kekal mampan, berdaya tahan dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Perubahan perlu dilaksanakan berfasa dan berasaskan data dengan kerjasama semua pihak termasuk komuniti perubatan, institusi latihan serta kerajaan, demi memastikan doktor muda di Malaysia dapat menjalani latihan dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyokong perkembangan profesional mereka," katanya.
