top of page

Lautan hadiri temuduga Infineon di Melaka: Anak muda dahagakan kerja berkualiti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 52 minutes ago
  • 2 min read

Kehadiran ribuan anak muda menghadiri temuduga terbuka syarikat Infineon di sekitar Bandar Hilir hari ini mencetuskan perhatian ramai, sekali gus dilihat sebagai petunjuk jelas anak muda di negeri itu dahagakan peluang pekerjaan berkualiti.


Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang (gambar) berkata, gambar dan video tular yang memaparkan barisan panjang calon menunjukkan kesungguhan belia namun pada masa sama mencerminkan realiti sebenar pasaran pekerjaan di negeri berkenaan.


"Pemandangan ini bukan sekadar menunjukkan kesungguhan belia untuk bekerja, tetapi menjadi cerminan betapa terhadnya peluang pekerjaan berkualiti di negeri ini," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, situasi tersebut bukan sesuatu yang asing kerana ramai anak Melaka terpaksa berhijrah ke kawasan lain seperti Lembah Klang bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.


"Walaupun saya dilahirkan di Melaka, keluarga saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur kerana kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan yang mampu menjamin kehidupan yang lebih baik.


"Justeru, saya melihat lautan manusia ini bukan sebagai satu kejayaan Kerajaan Negeri, sebaliknya sebagai isyarat jelas tentang kegelisahan rakyat dalam mencari masa depan yang lebih terjamin."


Beliau turut mengkritik Kerajaan Melaka yang kurang perancangan ekonomi serta kurang berupaya menarik pelaburan berimpak tinggi.


Katanya, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan Melaka tidak tersenarai dalam kelompok negeri penerima pelaburan diluluskan tertinggi bagi suku pertama 2026.


"Sebaliknya, Selangor mendahului dengan RM33.5 bilion, Kuala Lumpur RM16.9 bilion dan Pulau Pinang RM6.2 bilion. Hakikat bahawa Melaka tidak berada dalam kelompok ini menunjukkan cabaran sebenar untuk bersaing mendapatkan pelaburan berkualiti," katanya.


Dalam pada itu, Jeremy berkata Kerajaan Negeri dilihat terlalu bergantung kepada pelabur sedia ada seperti Infineon tanpa usaha agresif untuk menarik pemain industri baharu.


"Infineon merupakan aset penting kepada ekonomi Melaka. Namun, sesebuah negeri tidak boleh bergantung kepada satu atau dua nama besar semata-mata.


"Kerajaan Negeri perlu lebih agresif menarik pemain industri baharu dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan bernilai tambah dan ekonomi masa hadapan agar graduan tempatan mempunyai lebih banyak pilihan kerjaya," katanya.


Beliau menegaskan bahawa belia Melaka bukan tidak mahu bekerja namun yang perlu dipersoalkan ialah sama ada Kerajaan Negeri telah melakukan segala yang termampu untuk menyediakan ekosistem ekonomi yang mampu menawarkan peluang pekerjaan mencukupi, berpendapatan baik dan mempunyai prospek kemajuan.


"Anak muda Melaka tidak meminta ihsan. Mereka hanya mahukan peluang untuk membina kehidupan yang bermaruah di tanah tumpah darah sendiri, tanpa perlu menjadi perantau demi kelangsungan hidup," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page