Peniaga kena waran tangkap gagal hadir hadapi pertuduhan ancaman terhadap institusi diraja


Seorang peniaga dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kajang hari ini bagi menghadapi pertuduhan membuat hantaran komunikasi berbaur ancaman membabitkan institusi diraja menerusi akaun Facebook miliknya pada Jun lalu.
Hakim Khainur Aleeza Ismail mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin, supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki berusia 45 tahun berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa orang kena saman (OKS) itu bukan sahaja gagal memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), malah didakwa mengelak daripada menerima saman yang diserahkan kepadanya.
Menurut beliau, OKS terbabit tidak menjawab panggilan telefon pegawai MCMC dan enggan keluar dari rumahnya untuk menerima saman berkenaan.
Beliau memberitahu mahkamah, pegawai operasi MCMC telah pergi ke kediaman lelaki itu di Ampang, Selangor selepas maklumat telekomunikasi menunjukkan OKS berada di kawasan alamat berkenaan.
"Berdasarkan maklumat telekomunikasi, pegawai operasi telah pergi ke rumah OKS di Ampang, Selangor setelah mendapati bahawa OKS berada di kawasan alamat rumahnya.
"Pihak kami percaya OKS berada di dalam rumahnya memandangkan enjin motosikal yang berada di premis masih dalam keadaan panas, namun OKS enggan keluar dari rumah dan enggan menjawab panggilan bagi memberikan kerjasama," katanya.
Mahkamah menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes berkenaan.
Peniaga itu sepatutnya menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama di Mahkamah Sesyen Kajang pada pukul 9 pagi tadi.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Akta berkenaan turut memperuntukkan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.




Comments