Perdagangan Malaysia cecah RM3.062, rekod tertinggi dalam sejarah


Malaysia mencatat pencapaian bersejarah apabila jumlah perdagangan negara buat pertama kali melepasi paras RM3 trilion pada 2025, dengan nilai keseluruhan mencecah RM3.061 trilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan rakan dagang antarabangsa terhadap Malaysia serta daya saing ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global.
Menurut data rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jumlah perdagangan itu meningkat 6.3 peratus berbanding 2024, sekali gus mencatat nilai tertinggi dalam sejarah negara.
Hubungan dengan Taiwan positif
Daripada jumlah tersebut, eksport Malaysia meningkat 6.5 peratus kepada RM1.607 trilion, manakala import berkembang 6.2 peratus kepada RM1.455 trilion. Prestasi itu menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion, iaitu lebihan bagi tahun ke-28 berturut-turut sejak 1998.
Anwar berkata di Drawan Rakyat pagi tadi bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Taiwan turut menunjukkan perkembangan positif, sekali gus mencerminkan keyakinan rakan dagang terhadap keupayaan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.
Bagi 2025, eksport Malaysia ke Taiwan meningkat 31.2 peratus kepada RM87.95 bilion, menjadikan Taiwan antara pasaran eksport utama yang mencatat pertumbuhan ketara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar pada 12 November turut menegaskan bahawa hubungan ekonomi Malaysia-Taiwan kekal kukuh dan tidak terjejas, malah negara terus menerima pelaburan dari Taiwan.
Beliau berkata kerajaan komited mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan melalui saluran kerjasama ekonomi sedia ada, termasuk Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC).
Pada masa sama, Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip dasar luar negara, termasuk Dasar Satu China yang menjadi pendirian rasmi sejak 1974, tanpa mengabaikan kepentingan hubungan ekonomi dengan rakan dagang antarabangsa.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperluas peluang perdagangan, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan kepentingan nasional dipelihara dalam setiap hubungan ekonomi antarabangsa.
Pencapaian perdagangan melepasi RM3 trilion itu menjadi asas penting kepada usaha Malaysia memperkukuh kedudukan dalam pasaran global, mempelbagaikan destinasi eksport dan meningkatkan daya saing industri tempatan.




Comments