top of page

JAWI diarah siasat terjemahan ayat Al-Quran disalah guna dalam perarakan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 minutes ago
  • 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan penggunaan ayat suci Al-Quran yang didakwa diterjemah secara salah bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.


Beliau berkata siasatan tersebut termasuk meneliti kemungkinan tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan teks suci Islam.


"Saya telah mengarahkan JAWI untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berikutan video tular yang memaparkan sepanduk dengan ayat suci Al-Quran yang digunakan secara salah untuk mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, perbuatan tersebut amat dikesali kerana bukan sahaja mengguris perasaan umat Islam, malah mencemar kemuliaan kitab suci tersebut.


"Perbuatan ini bukan sahaja mengguris maruah umat Islam, apatah lagi ketika umat Islam sedang berada dalam bulan Ramadan yang mulia, malah mencemar kemuliaan Al-Quran kerana ditafsir jauh daripada konteks serta makna sebenar ayat tersebut," katanya.


Sehubungan itu, Zulkifli menyeru semua pihak agar menghormati kesucian Al-Quran dan tidak sewenang-wenangnya mentafsir ayat suci tanpa disiplin ilmu yang betul.


"Saya menyeru semua pihak agar menghayati Al-Quran dengan tradisi keilmuan yang panjang dan tidak menterjemah mengikut nafsu sehingga menyesatkan daripada maksud sebenar, apatah lagi untuk dijadikan dalil bagi budaya yang bertentangan dengan nilai Islam," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page