top of page

Wanita KEADILAN kecam iklan rendahkan martabat wanita, desak diturunkan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 28 minutes ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Wanita KEADILAN mengecam keras penyiaran satu iklan yang didakwa mempromosikan mesej merendahkan martabat wanita, mengukuhkan stereotaip jantina yang berbahaya, serta menormalisasikan unsur kawalan dan paksaan dalam institusi perkahwinan.


Setiausahanya, Sangetha Jayakumar, berkata kandungan iklan berkenaan bersifat regresif kerana membingkai wanita khususnya isteri, sebagai pihak yang perlu dikawal dan “dibetulkan” sekali gus menafikan hak mereka sebagai individu yang memiliki autonomi, maruah dan agensi diri.


"Naratif yang dipaparkan termasuk unsur mempermalukan isteri secara moral, meremehkan kepentingan pendidikan wanita serta mengangkat kepatuhan sebagai nilai utama seorang wanita adalah sangat membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau mengulas mengenai iklan diterbitkan oleh Astro dalam gerabak MRT yang memaparkan beberapa petikan yang dipercayai berkaitan siri rancangan di saluran televisyen satelit berbayar itu.

Iklan dianggap tidak sesuai, peru diturunkan
Iklan dianggap tidak sesuai, peru diturunkan

Dakwa Sangetha, mesej sedemikian bukan sahaja menjejaskan prinsip kesaksamaan gender malah berisiko membentuk norma sosial yang menghalalkan ketidaksamarataan serta kemudaratan emosi terhadap wanita apabila disiarkan di ruang awam.


"Wanita tidak ditakrifkan melalui kepatuhan seksual, peranan domestik atau sifat tunduk.


"Mereka berhak kepada persetujuan, pendidikan, pilihan peribadi dan keselamatan emosi," ujar beliau.


Beliau turut mempersoalkan penggunaan bahasa agama dan moral sebagai justifikasi untuk mendiamkan atau menundukkan wanita sambil menegaskan bahawa pendekatan sedemikian tidak wajar dalam pengiklanan awam.


Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menuntut Astro dan Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan segera bagi menurunkan iklan berkenaan, selain menegaskan bahawa pihak yang membiayai serta meluluskan penyiaran iklan tersebut perlu dipertanggungjawabkan.


"Wanita tidak perlu ‘dibetulkan’ atau dikawal. Apa yang perlu diperbetulkan ialah sistem dan naratif yang terus menormalisasikan misogini atas nama moral atau hiburan," ujar Sangetha.


Beliau menegaskan industri media dan pengiklanan mesti memikul tanggungjawab yang lebih besar dengan mengutamakan kepekaan gender serta menghormati maruah wanita.


"Wanita berhak mendapat penghormatan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page