top of page

Projek Kebun Komuniti MBK dapat hasil RM20 ribu sebulan jual anak patin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

 Projek Kebun Komuniti KebunKu MBK ternak anak ikan patin telah membuahkan hasil
 Projek Kebun Komuniti KebunKu MBK ternak anak ikan patin telah membuahkan hasil

Inisiatif Kebun Komuniti yang dilancarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi menyemarakkan kegiatan komuniti bandar kini menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menjana pendapatan sehingga kira-kira RM20,000 sebulan.


Peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menjayakan projek tersebut telah diluluskan MBK susulan usul yang dibawa oleh Ahli Majlis MBK, Fakhrul Anuar Zulkawi, dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis MBK ke-3 pada 2025 lalu.


Sebagai projek perintis, Fakhrul memilih komuniti Taman Seri Inderapura dalam DUN Inderapura, Parlimen Kuantan untuk melaksanakan projek Kebun Komuniti KebunKu MBK menerusi asuhan anak ikan patin di dalam kolam kanvas.


Menurut beliau, sebanyak enam kolam kanvas telah dibina dan mula beroperasi pada 1 Oktober 2025.


"Sebanyak enam buah sub komuniti telah menyertai projek perintis ini dan sehingga kini kita sudah memasuki musim ketiga pengasuhan serta penjualan anak ikan patin," katanya.


Enam sub komuniti yang terlibat ialah Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Penduduk Taman Seri Inderapura (PEKERTI) selaku NGO peneraju projek, PIBG SK Bunut Rendang, Persatuan Penduduk Taman Bunut Rendang Jaya (PESBREND), KRT JIRANITA Taman Seri Inderapura, Masjid Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura dan Komuniti Madani Inderapura Jaya.

Para peserta gembira dengan hasil anak ikan patin yang boleh dijual kepada penternak kolam ikan
Para peserta gembira dengan hasil anak ikan patin yang boleh dijual kepada penternak kolam ikan

Projek tersebut melibatkan asuhan anak benih ikan patin bersaiz satu inci yang dibesarkan selama 30 hari sehingga mencecah saiz lima inci sebelum dijual kepada penternak ikan patin sangkar di sekitar Pahang.


"Hasil jualan mencecah sekitar RM20,000 sebulan bagi kira-kira 60,000 anak ikan patin dan pendapatan ini diagihkan kepada semua komuniti yang terlibat," jelas Fakhrul yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan.


Sementara itu, Pengarah Projek merangkap Pengerusi PEKERTI, Azmi Ahmad berkata projek berkenaan bukan sahaja menjana ekonomi komuniti, malah merancakkan aktiviti bersama dalam kalangan penduduk setempat.


"Walaupun peserta tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penternakan sebelum ini, sokongan komuniti amat menggalakkan. Projek ini juga mendapat kerjasama juru perunding SS Energy yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang akuakultur," katanya.


Kejayaan projek tersebut turut menarik perhatian komuniti lain apabila empat komuniti dari DUN Teruntum, Parlimen Kuantan mengadakan lawatan sambil belajar pada 23 Januari 2026.


Komuniti yang terlibat ialah Komuniti Seri Kuantan Madani, Komuniti Cenderawasih Madani, Komuniti Alor Akar Madani dan NGO HARAP Kuantan.


Dalam lawatan itu, mereka turut dibawa oleh Fakhrul melawat kolam penternakan ikan di Zon Akuakultur Paya Besar, sebagai persediaan untuk memohon Geran Sejati Madani bagi melaksanakan projek ekonomi berasaskan akuakultur di kawasan masing-masing.


Inisiatif ini dilihat sebagai model pembangunan komuniti bandar yang menggabungkan elemen ekonomi, kerjasama sosial dan sokongan institusi tempatan secara mampan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page