Hormati tindakan Petronas bawa isu operasi perniagaan petroleum ke mahkamah
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 3 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pendirian politik matang Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg yang memilih untuk tidak membantah tindakan saman Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berhubung operasi perniagaannya di Sarawak, sebaliknya menasihatkan semua pihak menghormati proses kehakiman dilihat sebagai pendekatan paling berhemah dalam menangani polemik pemilikan dan kawal selia industri petroleum di negeri berkenaan.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, sebagai pemimpin tertinggi Sarawak, Abang Johari sudah tentu faham beberapa perkara, antaranya kesilapan dan kekhilafan pemimpin utama negeri terdahulu yang menandatangani beberapa dokumen penting yang menyerahkan hak petroleum negeri kepada Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Biro Kebajikan dan Bencana KEADILAN Sarawak itu berkata, antara kekhilafan tersebut termasuk penerimaan dan sokongan kepimpinan Sarawak terhadap pelaksanaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang diluluskan di Parlimen tanpa sebarang bantahan rasmi.

"Syarikat PETRONAS ialah tunjang utama industri minyak dan gas (O&G) di Malaysia, memegang kuasa eksklusif ke atas pengurusan, pembangunan, dan kawalan sumber hidrokarbon negara di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 sehingga kini, hampir 50 tahun tanpa sebarang bantahan daripada pemimpin Sarawak.
"Sebelum kewujudan PDA 1974, operasi petroleum di Malaysia dijalankan oleh syarikat minyak multinasional menerusi sistem konsesi untuk mencarigali petroleum di perairan Sarawak, Sabah dan Terengganu. Antara syarikat-syarikat carigali minyak yang memegang konsesi ialah Shell dan ExxonMobil.
"Apa akan terjadi terhadap industri petroleum di Sarawak jika PDA 1974 tidak diwujudkan bagi menghalang syarikat minyak multinational terus menerokai kekayaan petroleum di perairan Sarawak dan mungkin ianya lebih merugikan Sarawak?" soal beliau dalam satu kenyataan.
Kata Bruce Yee lagi, keputusan muktamad Mahkamah berhubung taksiran undang-undang hak pemilikan dan kawal selia operasi petroleum di Sarawak kelak berpotensi menjadi kes rujukan yang tidak dapat dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk pengamal undang-undang pada masa hadapan.
Hal itu, katanya, akan memudahkan pengoperasian syarikat minyak nasional itu di kemudian hari bergandingan syarikat milik negeri iaitu Petros.
"Saya menghormati hak-hak setiap individu dalam memberi pendapat dan kepakaran masing-masing dalam isu PETRONAS dengan berfakta dan kondusif, terutamanya individu dari bumi Sarawak demi mempertahankan kedaulatan Sarawak dan kuasa autonomi dalam MA63.
"Secara peribadi, hak-hak autonomi Sarawak yang termaktub dalam MA63 harus dihormati dan dipertahankan di samping perlu mencapai keseimbangan dan mengekalkan peranan PETRONAS sebagai simbol kedaulatan negara dalam menerajui minyak, gas asli cecair (LPG) dan tenaga di pasaran antarabangsa.
"Dengan mengambil kira sejarah, tahap perkembangan terkini serta tahap implikasi undang-undang yang bakal tercetus terhadap Sarawak, negara mahupun PETRONAS sendiri, maka semua pihak perlu menangani isu ini dengan berhemah, bijaksana dan perlu cuba menghindari dari sebarang retorik politik yang tidak kondusif," tegas beliau lagi.
Untuk rekod, berdasarkan laporan media permohonan Petronas untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak akan didengar 16 Mac ini.
Notis usul difailkan secara e-filing pada 10 Januari lalu menamakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sebagai pihak responden dalam permohonan berkenaan
Pada 12 Januari, dalam satu kenyataan Petronas berkata, permohonan itu bertujuan memastikan syarikat berkenaan dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.
Menurut Petronas, keputusan memfailkan notis usul berkenaan dibuat susulan perbincangan dan rundingan sejak tahun 2024 bersama syarikat minyak Sarawak, Petros; Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Petronas berkata, walaupun rundingan berkenaan menunjukkan kemajuan dalam aspek komersial dan perkongsian termasuk pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada 2020, namun masih wujud perbezaan pandangan berkaitan kerangka kawal selia yang terpakai kepada syarikat itu.









Comments