NRES usaha tangani konflik manusia–hidupan liar, pulihara habitat
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Sidiqin Omar
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mempergiat usaha pemuliharaan hidupan liar seperti harimau belang dan gajah bagi menangani konflik yang semakin ketara antara manusia dan haiwan, susulan pencerobohan habitat akibat aktiviti pembalakan serta perlombongan haram.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, antara langkah utama kerajaan ialah melaksanakan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti haram serta melindungi habitat hidupan liar.
"Kalau ada perlombongan haram, pembalakan haram atau hidupan liar terancam, laporan akan dibuat untuk tindakan susulan pihak berkuasa.
"Sebab itu kita ada operasi bersepadu khasanah yang melibatkan Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kadangkala imigresen," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau, operasi bersepadu itu telah dijalankan sejak dua hingga tiga tahun lalu dan akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan di lapangan.
Selain penguatkuasaan, beliau turut menegaskan kepentingan memahami latar belakang serta cabaran yang dihadapi masyarakat setempat, khususnya penduduk kampung yang terkesan dengan pencerobohan haiwan liar.
"Isu konflik manusia dan hidupan liar, khususnya gajah dan harimau, berlaku di beberapa kawasan seperti Gua Musang, Ulu Tembeling di Pahang, Perak dan juga Johor.
"Ini realiti yang perlu kita tangani dengan pendekatan menyeluruh," kata ahli parlimen Ledang itu lagi.
NRES terlibat kembang populasi Harimau
Beliau menegaskan bahawa harimau belang merupakan haiwan ikonik negara yang perlu dipelihara.
Pada awalnya, kata Syed Ibrahim, anggaran populasi harimau di Malaysia sekitar 500 hingga 700 ekor. Tetapi hasil penilaian menggunakan kamera sensor di hutan mendapati bilangannya pernah merosot sehingga sekitar 150 ekor sahaja di seluruh negara.

Penurunan itu banyak berpunca daripada pemburuan haram yang didorong nilai tinggi kulit harimau, termasuk penggunaan jerat yang menyebabkan kecederaan serius kepada haiwan berkenaan.
"Melalui rakaman kamera, kita dapat lihat harimau yang kudung kaki akibat jerat pemburu haram. Ini antara sebab pentingnya pusat pemuliharaan diwujudkan," katanya.
Sehubungan itu, NRES bersama Perhilitan telah memperkukuh program pemuliharaan termasuk penubuhan pusat konservasi seperti di Sungkai, Perak, bagi menempatkan harimau yang cedera atau bermasalah serta memastikan pembiakan terkawal.
Hasil usaha berterusan itu, Syed Ibrahim memaklumkan populasi harimau kini menunjukkan peningkatan ketara.
"Alhamdulillah, dengan pemuliharaan dan pembiakan yang betul, populasi harimau kini dianggarkan meningkat kepada sekitar 400 ekor di seluruh negara," ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan, usaha memelihara hidupan liar adalah sebahagian daripada keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar.
"Hidupan liar juga makhluk Tuhan. Mereka ada hak, habitat dan sumber makanan. Bila keseimbangan atau mizan ini terganggu, konflik akan berlaku," katanya lagi.
Menurut beliau, menjadi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan keseimbangan alam, agar pembangunan negara dapat dilaksanakan tanpa mengorbankan kelestarian hidupan liar.









Comments