top of page

Pas berdepan krisis nilai, ahli berani tegur secara terbuka - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 23 minutes ago
  • 2 min read

Pas berdepan berdepan krisis baharu apabila pimpinan dan ahlinya mula menegur secara terbuka berhubung keputusan dan proses dalaman parti.


Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, situasi semasa menunjukkan wujudnya permasalahan dalaman yang tidak lagi boleh dianggap sebagai persepsi musuh politik semata mata.


Katanya, menegur atau berbalah secara terbuka bukanlah disiplin organisasi Pas dan apabila tokoh Pas termasuk Mursyidul Am dan bekas pemimpin pusat tampil menegur secara terbuka keputusan serta proses dalaman parti, hal itu memberi isyarat jelas sesuatu yang serius sedang berlaku.


"Apabila Majlis Syura dan Mursyidul Am dipersoalkan dan di ketepikan, keputusan besar dibuat secara tergesa-gesa,

teguran dianggap ancaman, dan ketaatan kepada pimpinan diangkat mengatasi kebenaran, maka Pas sedang bergerak menjauhi prinsip Islam yang sebenar dan menghampiri budaya politik “matlamat menghalalkan cara”," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.


Beliau mendakwa semakin ramai ahli dan pimpinan Pas berani bersuara kebelakangan ini adalah kerana mereka tidak sanggup lagi berdiam diri terhadap apa yang disifatkannya sebagai kepalsuan yang dibungkus atas nama agama.


"Parti tidak runtuh kerana ahli yang menegur. Parti runtuh apabila kebenaran tidak lagi dibenarkan hidup di dalamnya," katanya.


Beliau menyeru ahli Pas supaya menilai secara jujur berdepan krisis politik semasa Perikatan Nasional, sama ada perjuangan yang dipertahankan mereka benar-benar demi Islam atau sekadar mempertahankan kepimpinan.


"Kesetiaan kepada Islam menuntut keberanian menegur, bukan ketaatan membuta tuli. Jika ahli PAS mahu PAS diselamatkan, kebenaran mesti didahulukan walaupun pahit," ujarnya.


Mahfuz menegaskan bahawa kenyataan tersebut dibuat sebagai peringatan bahawa agama tidak seharusnya diperalatkan demi kepentingan politik.


"Islam tidak perlukan kepalsuan untuk hidup. Tetapi kepalsuan selalunya perlukan agama untuk melindunginya," katanya.


Perbalahan secara terbuka dalam Pas bermula sejak parti itu memecat tiga ADUNnya di Perlis yang menyokong tindakan ADUN Bersatu menjatuhkan Menteri Besar dari Pas hujung tahun lalu.


Sejak itu pertikaian mengenai pemecatan tersebut yang didakwa tidak direstui autoriti seperti Majlis Syura Ulama dan sebagainya dibahaskan dan menjadi bahan kritikan dalam kalangan pemimpin peringkat pertengahan parti pembangkang tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page