top of page

Pendaftaran Institusi Pendidikan Islam mudahkan kerajaan salur bantuan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Semua institusi pendidikan Islam diseru supaya berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri masing-masing bagi memudahkan pemantauan, selain memastikan penyaluran bantuan pendidikan serta kerja baik pulih prasarana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, langkah itu bukan sahaja membantu usaha kerajaan memperkukuh institusi pendidikan Islam di seluruh negara, malah membolehkan keperluan sebenar institusi terlibat dikenal pasti secara lebih menyeluruh.


"Ini yang sedang kerajaan usahakan bagi memastikan institusi pendidikan Islam di seluruh negara dapat terus diperkasakan," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Institusi Pendidikan Islam (IPI) Negeri Perlis di Ma’ahad Attarbiyah al Islamiyah (MATRI), Beseri, Perlis semalam.


Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Hal Ehwal Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazmim Mohd Noor, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin serta Pengetua MATRI, Nasitah Ibrahim.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkifli memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi penyelenggaraan dan naik taraf 1,600 sekolah agama di seluruh negara, dengan tambahan RM50 juta tahun ini menjadikan keseluruhan RM200 juta.


Pihak kementerian juga telah memperuntukkan sebanyak RM157,800 bagi kerja penyelenggaraan dan naiktaraf Madrasah Tarbiyah Islamiah di MATRI pada tahun lalu dalam usaha meningkatkan kemudahan serta keselesaan warga sekolah berkenaan.


"Hasil peruntukan itu, pelbagai penambahbaikan dapat dilaksanakan termasuk pemasangan sistem pendawaian baharu serta naik taraf beberapa bilik darjah yang memberi manfaat kepada pihak sekolah," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page