top of page

Wanita jangan bertangguh jalani pemeriksaan kesihatan - Dr Wan Azizah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 hours ago
2 min read
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar arkib
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar arkib

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu usaha menggalakkan lebih wanita menjalani pemeriksaan payudara dipergiatkan.


Menurutnya, pemeriksaan awal penting bagi membolehkan penyakit payudara dikesan serta dirawat sebelum menjadi lebih parah.


"Ramai wanita kita tidak menjalani pemeriksaan. Ramai yang berasa enggan untuk seseorang memeriksa mereka, jadi kita perlu melakukan sesuatu untuk menggalakkan mereka melakukan saringan.


"'Kita tidak mahu mereka mendapatkan rawatan hanya apabila penyakit itu telah mencapai tahap tiga atau empat, ketika itu penyakit mungkin sudah agak lewat (untuk dirawat)," katanya dipetik laporan media.


Dr Wan Azizah berkata begitu menerusi ucapan perasmian Mesyuarat Saintifik Tahunan Asian Breast Disease Association (ABDA) 2026 di Kuala Lumpur pada Sabtu.


Mesyuarat dua hari yang bertemakan Strategising Multidisciplinary Management of Breast Diseases itu berkongsi pengetahuan dan mengukuhkan kerjasama dalam pengesanan, diagnosis dan rawatan penyakit payudara.


Ia menghimpunkan kalangan profesional dan penyelidik penjagaan kesihatan dari Malaysia dan seluruh Asia.

Sementara itu menurut beliau, melalui skim PeKa B40, penerima yang layak serta pasangan berusia 40 tahun ke atas boleh menjalani saringan kesihatan secara percuma, termasuk pemeriksaan klinikal payudara.


Selain itu, wanita yang layak juga boleh mendapatkan saringan mamogram bersubsidi menerusi program yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).


Dalam ucapan tersebut, Dr Wan Azizah juga menekankan usaha untuk mempersiapkan generasi profesional kesihatan akan datang untuk mengurus bidang berkenaan.


Beliau berkata doktor junior, penyelidik, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu perlu diberikan bimbingan secara berstruktur serta pendedahan awal kepada amalan pelbagai disiplin, di samping digalakkan mengemukakan soalan, mengambil bahagian dalam audit klinikal dan menerajui inisiatif kesedaran dalam kalangan masyarakat.


"Pembangunan tenaga kerja muda kita memerlukan lebih daripada sekadar mengenai penguasaan ketepatan teknikal malah juga bimbingan secara berstruktur dan pendedahan kepada amalan terbaik secara kolaboratif," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page