top of page

Wan Azizah: Tok Man berpengalaman, mampu beri khidmat terbaik di DUN Paya Rumput

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
14 hours ago
2 min read
DS Dr Wan Azizah bersama Datuk Azman dan komuniti India sewaktu berkempen di DUN Paya Rumput
DS Dr Wan Azizah bersama Datuk Azman dan komuniti India sewaktu berkempen di DUN Paya Rumput

Pengalaman Datuk Azman Abidin dalam mengendalikan urusan pentadbiran dan bekerja bersama kepimpinan terdahulu menjadi antara faktor beliau diyakini mampu memberikan khidmat terbaik kepada penduduk DUN Paya Rumput sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau mengenali Azman sejak sekian lama, termasuk ketika calon DUN Paya Rumput itu bekerja bersama bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Menurutnya, pengalaman tersebut memberikan Azman pengetahuan dan keupayaan dalam mengendalikan urusan, sekali gus menjadi nilai tambah untuk beliau menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat di Paya Rumput.


"Alhamdulillah, saya datang untuk memberikan sokongan dan semangat kepada calon kita, Datuk Azman Abidin, supaya insya-Allah menang sebagai ADUN di Paya Rumput.


"Saya dah bekerja dengan Datuk Azman ini dah lama. Saya tengok dia tahu cara-cara untuk mengendalikan urusan. Jadi, beliau seorang yang berpengalaman.


"Kita tawarkan seorang yang berpengalaman untuk menjadi ADUN di Melaka supaya dapat memajukan Paya Rumput dan memberikan khidmat terbaik kepada penduduk," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan ke Bilik Gerakan Utama N13 DUN Paya Rumput, petang ini.


Mengulas baki tempoh kempen yang memasuki fasa terakhir, Wan Azizah yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri berkata, tumpuan perlu diberikan kepada isu setempat yang dekat dengan kehidupan penduduk bagi memastikan keperluan mereka dapat ditangani dengan sebaiknya.


Tumpu isu tempatan


Katanya, pengundi juga perlu memainkan peranan dengan keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan tidak mengambil mudah proses pilihan raya.


"Isu tempatan itu yang kita nak tumpukan supaya kita dapat memberikan yang sebaiknya kepada masyarakat.


"Yang penting, kita harap mereka yang mengundi di Paya Rumput memberikan sokongan dan jangan lupa keluar mengundi. Itu yang penting sekali," katanya.


Dalam pada itu, mengulas peringatan supaya jentera parti tidak mengambil mudah persaingan pilihanraya, Wan Azizah berkata pengalaman politik mengajarnya bahawa setiap pertandingan perlu dihadapi dengan penuh kesungguhan dan berpegang kepada prinsip.


Beliau turut mengimbas pengalaman Pilihan Raya Umum 2004 apabila keputusan kemenangannya dipertikaikan sehingga melalui proses mahkamah, yang disifatkannya memberikan kesan mendalam terhadap perjalanan politiknya.


"Memang betul. Mana-mana pun kita kena ambil serius. Saya belajar daripada pengalaman sejak mula bertanding, termasuk pengalaman 2004 apabila keputusan kemenangan saya dipertikaikan sehingga dibawa ke mahkamah.


"Walau apa pun kita buat, semuanya mesti berasaskan prinsip. Prinsip bahawa kita membawa keadilan kepada semua," katanya.


Wan Azizah memetik ungkapan Saidina Ali r.a dan mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, justeru semangat persaudaraan sesama manusia perlu terus dipelihara.


"(Kata Saidina Ali) ..manusia terbahagi kepada dua, sama ada saudara dalam agama atau saudara dalam kemanusiaan, sebagai asas penting dalam membina masyarakat yang saling menghormati," kata Wan Azizah lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page