Walkout ketika PM Israel berucap tanda bantahan jelas - Dr Maszlee


Tindakan puluhan perwakilan meninggalkan dewan ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 September lalu disifatkan sebagai tanda bantahan yang jelas.
Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik berkata, tindakan berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai kedudukan seseorang pemimpin yang berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam forum diplomatik antarabangsa.
"Tindakan puluhan perwakilan meninggalkan dewan ketika Benjamin Netanyahu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu merupakan tanda bantahan yang jelas.
"Tindakan itu turut mendedahkan kepincangan yang membimbangkan di mana seorang pemimpin yang berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) masih dapat berucap di forum diplomatik terpenting dunia," katanya dalam kenyataan.
Menurut Maszlee, waran tangkap terhadap Netanyahu dikeluarkan ICC pada 21 November 2024 berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
ICC menyatakan waran itu berkaitan, antara lain, dakwaan jenayah perang menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan serta sengaja mengarahkan serangan terhadap penduduk awam, selain dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan termasuk pembunuhan, penganiayaan dan perbuatan tidak berperikemanusiaan lain.
"Netanyahu belum disabitkan kesalahan namun waran tersebut mesti dipandang serius. Kedudukan tinggi di pentas diplomatik sama sekali tidak boleh menjejaskan kewajipan untuk menuntut akauntabiliti," katanya.
Dalam pada itu, Maszlee menggesa negara yang terikat dengan Statut Rom supaya melaksanakan kewajipan masing-masing terhadap ICC.
"KEADILAN menyeru negara-negara yang terikat dengan Statut Rom supaya menunaikan kewajipan masing-masing terhadap ICC.
"Kami turut menggesa PBB supaya meneliti tatacaranya agar keadilan antarabangsa dapat ditegakkan dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata kewibawaan undang-undang antarabangsa bergantung kepada pelaksanaannya secara konsisten tanpa mengira pakatan politik.
"Rakyat Palestin berhak mendapat perlindungan keadilan dan kehidupan yang bermaruah," kata beliau lagi.




Comments