top of page

Waad nasional: Janji kepada Sabah, Sarawak MA63 ditunaikan PM Anwar

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
1 hour ago
2 min read
PM Anwar mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sempena Hari Malaysia yang diadakan di Kuching, Sarawak baru baru ini. Foto: FB Anwar
PM Anwar mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sempena Hari Malaysia yang diadakan di Kuching, Sarawak baru baru ini. Foto: FB Anwar

Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim memuji pendekatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai 'waad nasional', sekali gus menegaskan tanggungjawab seluruh Malaysia untuk menunaikan janji kepada Sabah dan Sarawak.


Suhaimi berkata, 'waad' yang bermaksud janji itu bukan merujuk kepada janji Anwar kepada Sabah dan Sarawak, sebaliknya janji yang dibuat ketika Malaysia dibentuk pada 1963 antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk membina sebuah negara bersama.


"Selepas lebih enam dekad, kita harus mengakui bahawa sebahagian daripada perkara yang dipersetujui dahulu mengambil masa yang terlalu panjang untuk diselesaikan.


"Tetapi kita juga perlu berlaku adil kepada fakta. Daripada 29 perkara yang dibincangkan melalui platform rasmi MA63, 13 telah diselesaikan sepenuhnya.


"Daripada jumlah itu, sembilan dimuktamadkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, lima lagi berada pada tahap selesai sebahagian atau interim, manakala 11 masih melalui proses tindakan dan rundingan. Bagi saya, selepas penantian begitu lama, kemajuan ini signifikan," katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Dr Suhaimi Ibrahim
Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

Suhaimi turut menyambut baik peningkatan kadar interim Pemberian Khas Sabah dan Sarawak kepada RM1.5 bilion, dan menegaskan perkara itu bukan penyelesaian muktamad, sebaliknya langkah sementara bagi memastikan keperluan kedua-dua negeri tidak terpaksa menunggu sehingga rundingan formula baharu dimuktamadkan.


Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan Anwar dalam melihat hubungan Sabah, Sarawak dan Semenanjung merupakan satu kesatuan penting bagi memastikan kemajuan mana-mana wilayah.


"Beliau (PM) menolak kerangka 'Semenanjung lawan Sabah' atau 'Semenanjung lawan Sarawak'.


"Malah ketika bercakap mengenai pembangunan tenaga Sarawak, beliau menyebut bahawa kejayaan Sarawak bukan hanya memberi manfaat kepada Sarawak, tetapi mampu mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga serantau.


"Ketika membincangkan MA63, beliau menegaskan bahawa beliau datang sebagai rakyat Malaysia yang menjaga kepentingan Semenanjung, Sarawak dan Sabah secara bersama. Inilah semangat yang patut kita besarkan," katanya.


Dr Suhaimi menegaskan sebagai negara Persekutuan, formula yang diwujudkan oleh PM dengan mengangkat kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah sama taraf dengan Semenanjung adalah kaedah terbaik dalam berkongsi kemakmuran bersama.


"Apabila kita benar-benar memahami erti Malaysia, tidak ada istilah kemenangan Sabah mengalahkan Semenanjung, atau kemenangan Sarawak merugikan Persekutuan.


"Yang ada hanyalah satu negara yang menjadi lebih kuat apabila setiap wilayahnya menjadi lebih kuat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page