Usul Pas ambil alih PN: Petanda perpecahan, perebutan kuasa meluas
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Keputusan sebulat suara perwakilan Muktamar Pas ke 71 kelmarin meluluskan usul untuk mengambil alih teraju kepimpinan Perikatan Nasional (PN) daripada Pengerusi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu dianggap sebagai bukti jelas gabungan itu semakin sarat dengan perpecahan dan perebutan kuasa.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataan berkata, langkah Pas berkenaan mengejutkan rakyat dan mendedahkan betapa rapuhnya kesepakatan dalam PN.
"Bagi rakyat langkah ini jelas membuktikan bahawa PN bukanlah gabungan yang stabil, tetapi sarat dengan perebutan kuasa dan pertembungan kepentingan antara parti komponennya.
"Bersatu telah menamakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11, namun Pas pula berusaha menyingkirkan dominasi Bersatu dengan merebut tampuk kepimpinan PN," katanya.
Mahfuz menambah, persoalan kini timbul sama ada Pas berani membawa usul itu ke mesyuarat rasmi PN atau konvensyen gabungan tersebut, ataupun ia sekadar gimik politik untuk menekan Bersatu.
Beliau menegaskan, apa yang berlaku hanyalah cerminan bahawa PN tidak mempunyai kesepaduan visi mahupun rancangan masa depan untuk rakyat.
"Apa yang nyata, perebutan kuasa ini menzahirkan hakikat bahawa PN tidak mempunyai kesepaduan visi dan tidak mampu menawarkan kestabilan politik kepada negara.
"Jika gabungan seperti ini diberi peluang memimpin Malaysia, rakyat hanya akan menyaksikan perbalahan tanpa kesudahan, bukannya membantu rakyat menyelesaikan masalah beban sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan atau agenda ekonomi yang sering didakwa mereka kerajaan yang ada ini gagal," ujarnya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa kepimpinan negara bukanlah medan eksperimen untuk parti-parti politik yang hanya sibuk bertelagah soal siapa yang mahu menjadi ketua.
"Malaysia memerlukan kerajaan yang fokus membina (negara) seperti Kerajaan Perpaduan Madani yang diketuai okeh Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan gabungan yang sibuk berpecah seperti Perikatan Nasional," tegasnya.
Mahfuz turut menyindir perkembangan terbaharu dalam PN dengan menyifatkan gabungan itu semakin longgar dan berantakan.
Comments