Usul calon AMK tanding DUN Puteri Wangsa - AMK Tebrau
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Tebrau, Johor berlangsung dengan jayanya, sekali gus mencerminkan komitmen generasi muda yang semakin kukuh dalam memperkasa parti.
Ketua AMK Tebrau, Jalex Lee berkata, mesyuarat tersebut telah mencapai kata sepakat untuk mengemukakan usul agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang disandang calon parti Muda ketika ini ditandingi oleh calon daripada AMK pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
"AMK Tebrau secara sebulat suara telah mengemukakan usul agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa ditandingi oleh calon daripada AMK. Ketetapan ini berasaskan beberapa pertimbangan strategik dan realiti semasa, termasuk kekuatan jentera AMK yang terbukti tersusun, berdaya gerak, serta telah lama melakukan persiapan rapi di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, faktor demografi turut menjadi pertimbangan utama apabila kawasan DUN Puteri Wangsa mempunyai jumlah pengundi muda yang signifikan.
"Komposisi demografi DUN Puteri Wangsa yang mempunyai banyak pengundi muda menjadikan pencalonan wakil daripada AMK sebagai langkah yang paling relevan dan bertepatan," ujarnya.
Tambah Jalex Lee, pendekatan itu selari dengan aspirasi untuk memperkukuh representasi generasi muda dalam politik selain memanfaatkan perubahan pola pengundian yang semakin cenderung kepada kepimpinan muda.
Beliau turut yakin bahawa AMK mempunyai keupayaan untuk menguasai undi anak muda di kawasan tersebut.
"Berdasarkan faktor-faktor ini, AMK mempunyai keupayaan signifikan untuk meningkatkan kebolehmenangan parti di DUN Puteri Wangsa," katanya lagi.




Comments