Ustaz Pas hentam Menteri Agama, cuba kelirukan rakyat isu pijak Al-Quran?
- Helmi Mohd Foad

- Feb 26
- 2 min read

Kenyataan pimpinan Dewan Ulama Pas berhubung isu seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang yang didakwa memijak al-Quran terus mengundang reaksi balas apabila KEADILAN menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan 'memusingkan' fakta dan mengelirukan masyarakat.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) mendakwa, kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Mohd Nor Hamzah cenderung untuk memesongkan pandangan sebenar Menteri Agama berkaitan isu berkenaan.
Dakwa beliau, ADUN Bukit Payong itu cuba memberi gambaran bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan tidak tegas dan terlalu berlembut dalam menangani isu berkenaan.
"YB Mohd Nor mengkritik bahawa pendirian li ta'arufu seperti yang disuarakan oleh Dr Zulkifli Hassan tidak sesuai dan menunjukkan kelemahan dalam menghadapi isu sebegini.
"Beliau dengan sengaja 'memekakkan' telinga terhadap kenyataan di permulaan respon Dr Zulkifli Hassan, yang menyokong tindakan tegas dan pantas pihak berkuasa tanpa kompromi (menahan individu menghina Al Quran). Dr Zulkifli menyokong segala tindakan berdasarkan lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Amidi, tindakan pimpinan Dewan Ulama Pas memusingkan isu bukanlah kali pertama dilakukan kerana Ahli Parlimen Jasin yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas sebelum ini didakwa cuba memutarbelitkan fakta di Dewan Rakyat dengan memetik di luar konteks isu stres sebagai faktor terjerumusnya seseorang ke kancah seks songsang.
Dalam isu menghina Al Quran, Amidi mempertahankan Zulkifli yang didakwa digambarkan sebagai tidak tegas menangani isu berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN mempersoalkan apakah tahanan reman empat hari terhadap individu terlibat masih dianggap tidak tegas oleh pemimpin Pas.
"Adakah sokongan terhadap tindakan pihak berkuasa menahan reman individu terbabit selama empat hari itu bukan satu ketegasan yang sewajarnya?
"Pihak berkuasa bertindak pantas bagi mengekang perkara tersebut dari berleluasa dan sekaligus mempertahankan maruah umat Islam," katanya.
Amidi berpendapat tindakan yang dilakukan oleh Menteri Agama dan kerajaan dalam isu individu menghina Al Quran tersebut adalah betul dan bersesusian dengan undang undang negara.
Sehubungan itu, beliau menasihati Ustaz Mohd Nor agar tidak menghukum melulu dan menimbulkan pecah belah dalam kalangan umat Islam dalam isu yang telahpun ditangani oleh pihak berkuasa.
"Di bulan Ramadan ini, kita sewajarnya bermuhasabah dan menginsafi segala kelemahan dan kekurangan diri kita, bukan menjadi agen pemecah umat Islam," katanya.




Comments