top of page

Timbalan Presiden UMNO tidak setuju 14 ADUN tarik sokongan - Lokman

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Keputusan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan tidak dibuat secara sebulat suara dan tidak mendapat restu pimpinan UMNO Pusat.


Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mengetahui dan tidak bersetuju dengan langkah ADUN UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, kelmarin.


Lokman dalam satu siaran video di Facebooknya berkata, beliau turut menerima maklumat bahawa perkara yang disampaikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah berbeza dengan apa yang berlaku selepas itu.


"Yang saya tahu Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bersetuju dengan tindakan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan dan beliau mengatakan beliau tidak tahu menahu.


"Saya pun dapat maklumat apa yang disampaikan kepada presiden dengan apa yang berlaku selepas itu adalah dua perkara yang berbeza.


"Saya harap kawan-kawan di Negeri Sembilan, baik (daripada) Barisan Nasional (BN), UMNO atau Pakatan Harapan (PH), saya harap semua sekali bertenang.


"Ini kerana apa jua keputusan, akhirnya akan diputuskan oleh kepimpinan parti kita khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden KEADILAN) dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid. Jadi jangan ‘gelabah’ tak tentu pasal," katanya.


Lokman mengakui polemik yang berlaku memberi implikasi negatif, selain meluahkan rasa terkilan terhadap perkembangan tersebut.


Katanya, beliau terkilan kerana momentum sokongan di peringkat akar umbi terhadap UMNO dan BN ketika ini dilihat semakin positif, termasuk dalam kalangan masyarakat Cina dan India yang sebelum ini ‘marah’ kepada UMNO, namun kini kembali menunjukkan penerimaan.


"Tiba-tiba bila berlaku krisis ini. (Ia) sedikit sebanyak menjejaskan sokongan terhadap BN dan UMNO. Cuma saya harap pimpinan parti lebih tegas, walaupun badan perhubungan negeri boleh diperkasakan, ia tidak boleh dibiarkan bertindak seolah-olah tanpa kawalan.


"Kena ada disiplin parti. Apa pun nak dilaksanakan kita tak bolehlah di negeri, kita bekerjasama dengan Perikatan Nasiona (PN), di peringkat Pusat kita kerjasama dengan PH .


"Akhirnya ia akan merosakkan kerjasama yang membolehkan hari ini Malaysia hidup aman damai, indeks prestasi ekonomi kita berada dalam keadaan baik, ringgit kita tengah cantik, Bursa Saham kita lebih 1,700 mata.


"Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita juga sangat cantik, peluang pekerjaan bertambah, kadar jenayah menurun tiba-tiba bila ada satu langkah yang tidak cermat, akhirnya merosakkan segala-galanya," ujarnya.


Lokman juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagaimanapun berpesan agar semua pihak tidak perlu risau dan yakin dengan kebijaksanaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid dan Anwar (Presiden KEADILAN) dalam menyelesaikan konflik ini.


Tegas Lokman lagi, UMNO tidak akan membiarkan perkara kecil menjejaskan hubungan bersama PH di peringkat Persekutuan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page