top of page

UMNO N Sembilan tarik sokongan, khianat mandat rakyat PRN2023 - Wanita KEADILAN

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 4 minutes ago
  • 1 min read

Wanita KEADILAN Pusat menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang disifatkan mengkhianati mandat kestabilan yang diharapkan oleh rakyat.


Sayap wanita itu berkata, tindakan tersebut mencerminkan keutamaan sempit pihak terbabit yang sanggup mengorbankan kestabilan demi percaturan kuasa politik ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup.


"Hakikatnya, ini bukan hanya pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan, tetapi terhadap rakyat yang amat memerlukan kestabilan politik untuk menghadapi tekanan kos sara hidup, bukan permainan kuasa sempit.


"Wanita KEADILAN berdiri teguh bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menolak sebarang bentuk pengkhianatan politik demi melindungi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.


"Kami turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada kedaulatan Perlembagaan," kata Wanita KEADILAN dalam kenyataan hari ini.


Semalam, UMNO Negeri Sembilan telah menghantar permohonan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan keputusan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.


Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata permohonan itu dibuat bagi memaklumkan secara rasmi pendirian parti itu berhubung perubahan sokongan politik membabitkan pentadbiran negeri.


Pada 27 April lalu, kesemua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku.


Namun, Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, beliau dititahkan oleh Tuanku Muhriz agar meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.


Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) lima kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023.


PH dan BN membentuk kerajaan apabila menguasai 31 kerusi DUN selepas pilihanraya tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page