top of page

Waze bukan satu-satunya pilihan, banyak aplikasi navigasi alternatif boleh diguna

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
30 minutes ago
4 min read

Analisis Berita: Kebimbangan terhadap keselamatan data pengguna dan kewujudan lebih 10 aplikasi navigasi alternatif sepatutnya mendorong rakyat Malaysia menilai semula kebergantungan terhadap Waze terutamanya apabila timbul dakwaan pangkalan data jutaan penggunanya dijual di pasaran web gelap.


Kerajaan Malaysia pula mengambil keputusan drastik melarang penjawat awamnya menggunakan Waze setelah mengambil kira keselamatan data dan maklumat sensitif setelah mendapati aplikasi itu berpangkalan di Israel dan mempunyai terma undang-undang yang terikat dengan negara regim Zionis itu.


Laporan syarikat teknologi keselamatan siber, ClearPhish mendakwa pangkalan data mengandungi lebih 7.6 juta rekod pengguna Waze diiklankan untuk dijual oleh penjenayah siber dengan maklumat yang didakwa merangkumi nama, pengecam pengguna unik, data lokasi sistem kedudukan sejagat (GPS) dan sejarah perjalanan.


Menurut laporan itu, sekiranya kesahihan data berkenaan dapat dibuktikan, maklumat tersebut berpotensi dieksploitasi bagi pelbagai tujuan berniat jahat termasuk menghendap individu, mengenal pasti rutin perjalanan dan merancang serangan bersasar.


"Sekiranya kesahihan data dapat dibuktikan, maklumat itu berpotensi dieksploitasi untuk pelbagai tujuan berniat jahat termasuk menghendap individu, mengenal pasti rutin perjalanan serta merancang serangan bersasar," dakwa laporan ClearPhish.


Dakwaan itu menambah dimensi baharu kepada perdebatan mengenai penggunaan Waze di Malaysia selepas kerajaan memutuskan untuk melarang penjawat awam menggunakan aplikasi berkenaan atas pertimbangan keselamatan negara dan perlindungan data.


Bagaimanapun, Waze menafikan dakwaan bahawa aplikasi navigasinya mengumpulkan maklumat sensitif kerajaan atau membolehkan pihak ketiga menyalahgunakan data peribadi pengguna, susulan keputusan kerajaan melarang penjawat awam daripada menggunakan aplikasi berkenaan.


"Dakwaan bahawa Waze mengumpulkan maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak mengeksploitasi data peribadi pengguna adalah sama sekali tidak benar.


"Waze beroperasi berdasarkan dasar privasi yang ketat bagi melindungi data pengguna dan mematuhi piawaian perlindungan data di bawah undang-undang antarabangsa," kata jurucakap Waze dipetik Malaysiakini.


Namun persoalan yang lebih besar ialah sama ada pengguna perlu menunggu arahan kerajaan atau bukti kebocoran yang muktamad sebelum mempertimbangkan aplikasi alternatif sedangkan terdapat pelbagai pilihan navigasi lain yang boleh digunakan.


Risiko penggunaan aplikasi navigasi bukan sekadar berkaitan ketepatan laluan atau kesesakan trafik.


Maklumat lokasi yang dikumpulkan secara berterusan berpotensi mendedahkan corak kehidupan seseorang, bergantung pada jenis data yang disimpan dan cara maklumat itu diproses.


ClearPhish turut membangkitkan kebimbangan terhadap keupayaan mengakses data GPS masa nyata dan pengecam pengguna unik sekiranya maklumat berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.


Dakwa laporan itu, maklumat tersebut berpotensi digunakan untuk menjejaki pergerakan pengguna, memantau corak perjalanan atau menyamar sebagai individu tertentu bagi tujuan berniat jahat.


Risiko berkenaan wajar diberikan perhatian kerana lokasi yang kerap dikunjungi seseorang boleh mendedahkan rutin harian, tempat kerja, kediaman atau lokasi lain yang mempunyai kepentingan peribadi.


Keselamatan siber


Laporan ClearPhish turut mendakwa Waze pernah berdepan penelitian berkaitan keselamatan siber apabila penyelidik keselamatan siber, Peter Gasper dilaporkan mengenal pasti kelemahan pada antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang berpotensi dieksploitasi untuk menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata.


"Walaupun Google dilaporkan sudah membaiki beberapa kelemahan berkenaan, dakwaan terbaharu itu menimbulkan persoalan sama ada Waze masih mempunyai kelemahan keselamatan yang ketara," kata laporan itu.


Bagaimanapun, dakwaan penjualan 7.6 juta rekod tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti muktamad bahawa keseluruhan data berkenaan sahih atau Google dan Waze telah mengesahkan berlaku kebocoran.


Perbezaan itu penting kerana risiko keselamatan siber perlu dinilai berdasarkan bukti teknikal dan bukan andaian semata-mata.


Namun, ketiadaan pengesahan muktamad juga tidak bermakna pengguna perlu mengabaikan persoalan mengenai privasi data.


Aplikasi alternatif


Hakikatnya, Waze bukan satu-satunya aplikasi navigasi yang boleh digunakan di Malaysia.


Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (RSEA), Jamil Manan Supri dipetik berkata pengguna jalan raya mempunyai banyak pilihan navigasi yang boleh digunakan bagi menggantikan Waze.


Antara aplikasi yang disenaraikannya ialah Google Maps, PINTAZ, HERE WeGo, Apple Maps, TomTom, Sygic GPS Navigation, OsmAnd, Petal Maps, Moovit, Organic Maps, Citymapper dan GrabMaps.


Kepelbagaian pilihan ini menunjukkan pengguna tidak semestinya terikat kepada satu platform untuk mendapatkan panduan perjalanan.


Sesetengah aplikasi menyediakan navigasi pemanduan dan maklumat trafik manakala yang lain lebih tertumpu pada pengangkutan awam atau penggunaan peta luar talian.


Pilihan terbaik bergantung pada keperluan perjalanan, liputan kawasan dan fungsi yang diperlukan pengguna.


Namun, Jamil mengingatkan peralihan daripada Waze kepada aplikasi alternatif perlu disertai penilaian teknikal dan keselamatan bagi memastikan kebolehpercayaan maklumat laluan serta keselamatan pengguna jalan raya tidak terjejas.


"Waze mempunyai kelebihan menerusi laporan komuniti mengenai kesesakan trafik, kemalangan dan bahaya di jalan raya, namun, maklumat yang disediakan tidak semestinya lengkap, tepat atau terkini," katanya seperti dipetik Harian Metro.


Beliau turut menegaskan teknologi sepatutnya membantu mengurangkan risiko dan bukannya mewujudkan kebergantungan baharu yang boleh meningkatkan risiko.


Peringatan itu penting dalam menilai usaha menggantikan Waze.


Pengguna bukan sahaja memerlukan aplikasi yang mampu menunjukkan laluan malah sistem yang boleh memberikan maklumat tepat, dikemas kini dan boleh dipercayai ketika berada di jalan raya.


Dalam pada itu, keputusan kerajaan menggalakkan penggunaan TuJu, aplikasi navigasi yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membuka peluang kepada produk tempatan untuk memperluas penggunaan dalam kalangan rakyat.


Bagaimanapun, aplikasi tempatan tidak seharusnya diberikan kelebihan semata-mata kerana dibangunkan di Malaysia.


Keupayaan sebenar perlu diukur berdasarkan prestasi, ketepatan lokasi. Setelah kritikan dibangkitkan oleh orang ramai terhadap kelemahan TuJu sebagai alternatif Waze, kerajaan dan pihak berwajib perlu melakukan penambahbaikan dengan segera.


Jangan sia-siakan pelaburan jutaan ringgit untuk membangunkan aplikasi tersebut sekiranya ia gagal dimanfaatkan rakyat.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page