top of page

Terma rujukan pasukan khas siasat 'mafia korporat' dibentang minggu depan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
43 minutes ago
1 min read
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil. Gambar arkib
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil. Gambar arkib

Kerangka Terma Rujukan (ToR) bagi pasukan khas yang bakal menyiasat dakwaan berkaitan 'mafia korporat' akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, minggu depan.


Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet semalam.


"Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerangka terma rujukan bagi pasukan khas yang akan menyiasat dakwaan berhubung isu terbabit akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.


"Perdana Menteri turut mengumumkan seperti yang disebut pada sidang Parlimen sewaktu Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada Selasa lalu, hasil siasatan akan didedahkan dalam tempoh tiga bulan selepas siasatan terbabit selesai," katanya dipetik laporan media.

Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa menegaskan komitmen kerajaan untuk tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan 'mafia korporat'.


Menteri Kewangan itu mengakui jenayah 'mafia korporat' di negara ini berpunca akibat sistem kurang telus yang diwarisi sejak puluhan tahun lalu.


Kelemahan sistem itu jelasnya, menyumbang kepada kes pembelian dan pengambilalihan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, manipulasi pasaran saham, pelanggaran keperluan pendedahan korporat dan aktiviti pinjaman wang haram membabitkan ugutan.

Sehubungan itu menurutnya, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi menyiasat isu berkenaan.


Jawatankuasa itu turut akan dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta agensi penguatkuasaan berkaitan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page