Henti polemik larangan Waze, keselamatan negara tidak boleh dikompromi


Semua pihak digesa menghentikan polemik berhubung larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi kerana isu keselamatan dan kepentingan negara tidak boleh dikompromi.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung larangan itu menunjukkan perkara berkenaan berkait dengan keselamatan negara, termasuk risiko pendedahan data kepada pihak asing.
"Adalah jelas daripada kenyataan Perdana Menteri bahawa hal ini berkaitan dengan isu keselamatan dan kepentingan negara. Ia bukan sekadar data yang dikumpul oleh negara asing, tetapi melibatkan rejim Israel yang tidak kita iktiraf," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syahredzan, Malaysia antara negara yang lantang mengkritik tindakan Israel di pentas antarabangsa, justeru aspek keselamatan daripada kemungkinan ancaman pihak luar perlu diberikan perhatian.
Beliau berkata, Anwar juga mengakui sedar dirinya menerima kritikan berhubung isu berkenaan, namun tetap bertegas dengan pendirian kerajaan.
Mengulas penggunaan aplikasi alternatif TuJu, Syahredzan mengakui aplikasi itu mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, tetapi menegaskan kerajaan tidak mewajibkan penggunaannya sebagai satu-satunya pilihan.
"Memang benar bahawa aplikasi TuJu mempunyai banyak kelemahan. Namun pada masa yang sama, Kerajaan tidak mewajibkan aplikasi ini sahaja untuk digunakan.
"Banyak alternatif lain yang boleh digunakan, sama ada yang dibangunkan di dalam negeri mahupun di luar negara," katanya.
Beliau turut menyifatkan desakan supaya TuJu ditambah baik sebagai sesuatu yang wajar dan meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai agensi yang membangunkan aplikasi itu mengambil langkah memperbaiki kelemahan aplikasi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kritikan terhadap TuJu dan tuntutan supaya pelaksanaannya lebih telus tidak seharusnya mengabaikan keperluan mematuhi larangan penggunaan Waze oleh penjawat awam ketika menjalankan urusan rasmi.
"Ini kerana urusan rasmi akan melibatkan maklumat dan data sensitif yang tidak boleh didedahkan kepada pihak lain, terutama sekali yang mahu memudaratkan kita," katanya.
Syahredzan menegaskan isu keselamatan negara tidak sepatutnya dijadikan polemik atau modal politik untuk menyerang kerajaan dan Perdana Menteri.
"Keselamatan negara dan rakyat tidak wajar dijadikan polemik atau isu politik untuk menyerang Kerajaan dan Perdana Menteri. Kepentingan negara tidak boleh dikompromi," katanya.




Comments