AMK Selayang ingatkan batas kebebasan bersuara, tindakan tegas isu 3R
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selayang mengingatkan bahawa kebebasan bersuara yang dinikmati rakyat dalam era Kerajaan MADANI perlu disertai dengan tanggungjawab, khususnya dalam mengelakkan penyebaran kebencian dan hasutan melibatkan isu sensitif.
Setiausaha AMK Selayang, Tommy Tong berkata, walaupun rakyat diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan, kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan.
"Dalam era MADANI, rakyat sememangnya diberikan hak kebebasan bersuara sepenuhnya namun kebebasan ini tidak termasuk mengeluarkan kata-kata kebencian, fitnah dan hasutan, terutamanya melibatkan isu 3R," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa pengguna media sosial perlu lebih peka dan bertanggungjawab terhadap setiap kandungan yang dikongsikan.
"Masyarakat tanpa mengira kaum dan agama harus peka dalam menggunakan media sosial, dan setiap pengguna perlu bertanggungjawab terhadap setiap komen serta hantaran yang dibuat," katanya.
Menurut beliau, Selangor kekal sebagai negeri yang harmoni dengan kepelbagaian kaum dan agama yang hidup aman di bawah pemerintahan Sultan Selangor.
"Selangor merupakan sebuah negeri yang berbilang kaum dan agama, serta sentiasa aman dan damai di bawah pemerintahan DYMM," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kebencian dan menggugat keharmonian negeri.
"Segelintir individu yang cuba menimbulkan sentimen kebencian di Selangor harus diambil tindakan sekeras-kerasnya," katanya lagi.




Comments