top of page

56 kapal Global Sumud Flotilla mula belayar dari Itali menuju Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 39 minutes ago
  • 2 min read

Sebanyak 56 kapal di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini memulakan pelayaran dari Pelabuhan Catania, Itali menuju perairan antarabangsa sebagai sebahagian usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.


Sumud Nusantara Command Center (SNCC) dalam satu kenyataan memaklumkan, misi itu melibatkan penggabungan strategik antara kumpulan flotila dari Barcelona, Sepanyol dengan armada dari Itali.


"Misi ini menyaksikan penggabungan strategik di antara kumpulan flotila dari Barcelona sebanyak 40 buah kapal dengan kumpulan Itali, menjadikan jumlah keseluruhan armada kini mencecah 56 buah kapal," kata kenyataan itu.


SNCC turut menjelaskan bahawa beberapa kapal masih menjalani proses teknikal dan pembaikan di pelabuhan berkenaan sebelum menyertai semula armada utama.


Mengulas status delegasi Malaysia, SNCC memaklumkan seramai 36 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi itu berada dalam keadaan baik dan bersedia meneruskan pelayaran.


"Keseluruhan 36 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada boat engineer, kapten, pasukan perubatan, kru kapal, serta penganjur dan peserta kini berada dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi untuk meneruskan fasa pelayaran ini," ujar kenyataan itu.


Dalam perkembangan berkaitan, SNCC memaklumkan tiga delegasi Malaysia telah pulang ke tanah air susulan kerosakan teruk beberapa kapal dan kini ditugaskan di pangkalan operasi serantau di Sepang.


"Delegasi berkenaan iaitu Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi, dan Nurul Hidayah Mohd Amin telah selamat tiba di tanah air dan akan memulakan tugas rasmi di pangkalan SNCC Sepang yang kini turut berfungsi sebagai pangkalan operasi serantau melibatkan penyelarasan strategik dari tujuh negara," katanya.


Dalam pada itu, SNCC menegaskan komitmen penuh untuk menjayakan misi berkenaan dan menggesa rakyat Malaysia terus memberikan sokongan.


"SNCC sekali lagi menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi ini dan menggesa rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan moral serta mendoakan keselamatan seluruh armada Global Sumud Flotilla," kata kenyataan itu lagi.


Orang ramai serta pihak media dinasihatkan agar merujuk kepada SNCC sebagai sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan misi berkenaan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page