top of page

AMK Klang gesa tindakan tegas terhadap pihak hina Sultan Selangor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 29
  • 1 min read
AMK dan Cabang KEADILAN Klang membuat laporan polis ke atas pihak menyebarkan hantaran hina sultan
AMK dan Cabang KEADILAN Klang membuat laporan polis ke atas pihak menyebarkan hantaran hina sultan

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Klang bersama KEADILAN Cabang Klang semalam membuat laporan polis di IPD Klang Selatan berhubung hantaran media sosial menghina Sultan Selangor.


Ketua AMK Cabang Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, laporan itu dibuat susulan hantaran bertarikh 26 April lalu sekitar jam 9.30 malam melalui akaun Facebook “Kang Nasir”, yang turut berkongsi kandungan tangkapan layar daripada Huayan The Pureland Learning Center.


"Hantaran tersebut secara jelas dan terbuka menghina DYMM Tuanku Sultan Selangor melalui imej suntingan serta kapsyen yang amat biadab, sekali gus mencabuli sensitiviti melibatkan isu 3R (Raja, Agama dan Kaum)," katanya dalam satu kenyataan media.


Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima, malah berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.


"Perbuatan ini adalah satu tindakan yang keterlaluan, tidak bertamadun, dan langsung tidak boleh diterima, malah berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman awam," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia supaya bertindak segera tanpa kompromi dengan melengkapkan siasatan dan mendakwa pelaku di mahkamah.


"Tindakan tegas ini amat penting sebagai pengajaran jelas bahawa tiada mana-mana pihak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya berani menghina Institusi Diraja, khususnya Sultan Selangor," katanya.


Dalam masa sama, AMK Klang turut menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar mengambil tindakan segera termasuk menyekat penyebaran kandungan serta menjejak pelaku.


Mengulas lanjut, beliau berkata AMK Klang menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor serta menegaskan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Institusi Diraja.


"AMK Klang menegaskan bahawa penghinaan terhadap Institusi Diraja adalah satu garis merah yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page